Ekonomi

Pakej rangsangan elak impak negatif ketara, berlanjutan

PELAKSANAAN pelbagai pakej rangsangan ekonomi baik di Malaysia mahu pun di negara-negara lain, disifatkan wajar dalam usaha mengelak impak negatif daripada terus berleluasa serta berlanjutan bagi tempoh jangka panjang .

Pakar ekonomi dari Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, impak kesihatan serta kejutan ekonomi akibat virus COVID-19 sememangnya tidak dijangka, menyebabkan hampir seluruh ekonomi dunia termasuk Malaysia terpaksa ditutup selama beberapa bulan demi membendung penularannya.

Berikutan itu, Malaysia telah mengumumkan usaha termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM35 bilion dalam usaha menangani kesan terbabit.

Ditanya kepada Prof. Kim Leng sama ada keadaan ini turut menyebabkan defisit fiskal negara meningkat dua kali ganda tahun ini, beliau berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan akibat gangguan bekalan serta permintaan susulan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19.

“Jangkaan peningkatan defisit fiskal tahun ini bukanlah keutamaan selagi bantuan fiskal dan langkah rangsangan itu dilaksanakan secara berkesan dengan ketirisan dan pembaziran dapat diminimumkan.

“Pada masa sama, ia membolehkan kerajaan mampu menyambung semula usaha pengukuhan fiskal sebaik keadaan ekonomi kembali pulih,” katanya kepada BERNAMA.

Mengulas sama ada defisit fiskal itu meningkat sekitar 6.0 peratus daripada pengeluaran tahunan ekonomi tahun ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah rangsangan itu (2019:-3.5 peratus),  beliau berkata, “berdasarkan paras semasa, masih terdapat ruang bagi jumlah hutang kerajaan menjadi sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan nisbah khidmat hutang meningkat sedikit.

“Ini berlaku tanpa mengetepikan kebimbangan mengenai hutang dan kemapanan fiskal serta kemungkinan akan menyebabkan penurunan semakan penarafan negara.

“Kerajaan bagaimana pun mungkin perlu mempertimbang aspek untuk mengurangkan bebanan hutang dengan menghidupkan jadual projek infrastruktur mega sedia ada dan baharu, meningkatkan jualan aset dan ekuiti dan mendapatkan peluang kerjasama awam-swasta (PPP) bagi menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan serta industri yang terjejas teruk akibat pandemik itu.” – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button