BeritaPolitik

Pairin mengakulah anda luluskan pas residen!

ISU pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dipolitikkan pembangkang Barisan Nasional (BN) hanya boleh diakhiri oleh Huguan Siou (Pemimpin Agung) Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Serentak itu, Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony mencabar Pairin supaya membuat kenyataan tidak pernah meluluskan pas residen yang kini dikenali PSS semasa menyandang jawatan Ketua Menteri pada 2015.

“Cuba PBS buat kenyataan kelulusan pas residen pada tahun 2015 itu tipu ia dilaksanakan oleh Pairin di bawah RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Tanpa Izin Sabah).

“Bukan kami masyarakat KDM tak sayang Huguan Siou (Pairin) tetapi kalau dia ikut sahaja kata BN (mempolitikkan PSS), maka untuk apa kita pertahankan beliau.

“Dalam era pemerintahan PBS terdahulu pun tidak ada yang dilakukan oleh Pairin sehingga ini. Kita bayangkan sekiranya Pairin selama ini jujur, ikhlas dan komited untuk membantu masyarakat KDM, sudah tentu banyak masalah ketika ini tak timbul, tetapi ini tidak dilakukan.

“Bila tak berada dalam kerajaan, macam-macam tohmahan dilakukannya, saya percaya KDM sudah muak, tidak akan menyokong Pairin,” tegas Anthony ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang hari ini.

Anthony yang juga Naib Presiden Warisan dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri kemudian menukar nama pas residen kepada PSS setelah mendapati nama `pas residen’ tidak sesuai atau cocok digunakan.

“Nama (istilah) pas residen itu kalau di Jepun dan Australia lebih kurang PR (pemastautin tetap). Tetapi menerusi PSS, pendatang asing tanpa izin (PTI) tidak boleh mohon jadi warganegara.

“Dengan PSS juga kita (kerajaan negeri) ada masa untuk hantar PTI yang beratus ribu orang di Sabah ini pulang ke negara asal. Kalau laksana (PSS) hari ini, esok nak hantar tak bolehlah, kalau begitu perlu ada kapal-kapal dari Thailand, Indonesia dan negara lain untuk buat demikian,” kata Anthony lagi.

PSS akan mula dikeluarkan pada 1 Jun tahun ini untuk menyeragamkan tiga dokumen yang dipegang oleh warga asing di Sabah yang dikeluarkan semasa zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini.

IMM13 diisukan oleh Jabatan Imigresen sejak 1970 kepada pelarian perang kerana Malaysia mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Kad Burung-Burung pula dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri pada 1985 dan 1986 oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala Sijil Banci turut dikeluarkan oleh PBS pada 1990 melalui MKN.

PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik pemegangnya itu akan menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci yang ada sekarang.

Ketika ini terdapat sebanyak 136,055 dokumen itu di Sabah iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.
Berdasarkan jumlah itu, dianggarkan kira-kira 600,000 PSS akan dikeluarkan selepas mengambil kira ahli keluarga seperti isteri atau suami dan anak-anak setiap pemegang ketiga-tiga dokumen asal itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button