Ozil perlu keluar dari Arsenal – Keown, Simpson
SEJAK saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung kembali awal bulan lalu selepas rehat hampir tiga bulan gara-gara Covid-19, kelibat Mesut Ozil tidak lagi kelihatan bersama kesebelasan utama skuad Arsenal kendalian Mikel Arteta.
Ia menimbulkan persoalan terhadap masa depan pemain tengah itu bersama Arsenal, sekaligus memberi isyarat khidmatnya mungkin tidak diperlukan Arteta.
Bagi bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown, mungkin lebih baik jika Ozil mencari haluan baru dalam kerjayanya.
“Saya tidak berasa Ozil mempunyai masa depan bersama Arsenal, ia merugikan kerana dia seorang pemain berbakat tetapi Arteta mengutamakan etika bekerja dalam pasukan.
“Jika Ozil enggan bekerja keras dalam padang, sukar buat dia diturunkan dan skuad Arsenal kendalian Arteta kini menekankan kerjasama erat sepasukan.
“Jika Arsenal terus menyimpannya, ia juga menunjukkkan isyarat tidak baik kepada pemain muda.
“Ia kerana Ozil tidak bermain tetapi menerima gaji besar berbanding pemain muda yang main tetapi gaji lebih kecil,” kata Keown ketika menjadi tetamu dalam siaran secara langsung Arsenal – Crystal Palace semalam bersama bekas pemain Leicester City, Danny Simpson di saluran CH813 Astro Supersport.
Simpson turut senada dengan Keown dan berasa Ozil sepatutnya mampu membimbing tonggak muda dalam pasukan.
“Ozil seorang pemain cukup berbakat dan ramai pemain lain hanya mampu berhajat untuk mempunyai bakat sepertinya.
“Sepatutnya dia membimbing pemain muda dalam padang, bantu mereka menangani tekanan.
“Tetapi Arteta kini pengurus Arsenal dan dia membuat beberapa keputusan penting, saya tidak nampak Ozil bermain untuk Arsenal lagi,” kata Simpson.
Dalam pada itu, Arteta akui kecewa pasukannya sekadar seri satu sama berdepan Leicester dalam aksi EPL pada Rabu walaupun tiada rungutan mengenai komitmen pemainnya.
Arsenal mendahului awal menerusi Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-21 sebelum Eddie Nketiah dilayangkan kad merah ketika perlawanan berbaki 15 minit.
Berbekalkan kelebihan seorang pemain, Leicester bangkit menyamakan kedudukan menerusi James Vardy pada minit ke-81.
“Saya kecewa kami kehilangan dua mata, kami menguasai sebahagian besar perlawanan dan boleh mendahului tiga, empat kosong.
“Tapi kami tidak menyempurnakan peluang dan apabila itu berlaku sudah pasti lawan akan mempunyai detik kebangkitan.
“Selepas kami beraksi dengan 10 pemain ia sememangnya sukar untuk kami terus membendung asakan lawan.
“Apa pun, saya tidak boleh meminta lebih daripada pemain kerana mereka sudah memberikan komitmen terbaik, banyak lagi perlu dilakukan untuk menjadi lebih baik dan kami di landasan tepat,” kata Arteta ketika temubual pasca perlawanan bersama Stadium Astro semalam. – SM