Sukan

NSAM pilih penembak ke Olimpik Tokyo Februari ini

PEMILIHAN atlet menembak bagi mengisi kuota ‘wildcard’ ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diputuskan selepas mesyuarat oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) pada Februari ini, kata pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar.

Beliau berkata pemilihan nama atlet berkenaan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan NSAM berdasarkan pencapaian dalam kesemua pertandingan pada tahun lepas, namun tidak menolak kemungkinan untuk memberi peluang kepada penembak yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik sebelum ini termasuk penembak veteran, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Jonathan Wong Guanjie.

Nor Suryani pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik 2012 di London, manakala Jonathan pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, dan kedua-dua penembak itu layak secara merit selepas meraih keputusan positif pada Kejohanan Menembak Asia.

“Apabila sudah dapat pengesahan (kuota wildcard) daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), baru kita putuskan atlet mana yang sesuai ke Tokyo,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat ‘post-mortem’ Sukan SEA 2019 bersama wakil Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia di sini hari ini.

Musa memberitahu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberi satu tiket ‘wildcard’ kepada negara yang gagal layak secara merit dalam beberapa kejohanan kelayakan Olimpik Tokyo.

Mengulas mengenai mesyuarat ‘post-mortem’ berkenaan, Musa mendedahkan perbincangan lebih tertumpu untuk mengenal pasti kelemahan penembak negara di Filipina sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam.

“Mungkin kita perlu lihat semua program latihan atlet kita. Dalam perjumpaan hari ini, kita turut menyatakan beberapa punca kita gagal pada Sukan SEA 2019, termasuk kekurangan kejohanan dan penutupan sementara (lapang sasar menembak di Subang) yang memberi kesan kepada persediaan atlet kita,” jelas Musa.

Malaysia gagal membidik sebarang pingat emas, setelah sekadar membawa pulang dua perak dan empat gangsa pada temasya itu sekali gus gagal menepati sasaran dua emas yang diletakkan oleh NSAM.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button