Nasional

Negara bergerak ke belakang jika ahli Parlimen ketuai GLC

NEGARA akan mundur ke belakang mengambil keputusan untuk melantik Ahli Parlimen mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, bagi mereka yang mentadbir negara memadai jika kembali kepada asas yang mudah, terutama bagaimana mahu mentadbir.

Katanya, ia bukannya sekadar meletakkan mana-mana individu di mana-mana jawatan yang kosong, dikosongkan atau dicipta.

“Untuk mentadbir mesti berpandukan integriti, kejujuran, bertanggungjawab, akuantabiliti dan kerja berpasukan demi mencapai aspirasi negara dan rakyat. Bukannya dipandu oleh cita-cita peribadi yang akan merosakkan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan Rafidah itu dipercayai merujuk kepada apa yang diperkatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan semalam bahawa ahli parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini akan dijadikan ketua GLC.

Katanya, Pas mempunyai 18 ahli parlimen dengan lapan daripada mereka adalah menteri dan timbalan menteri, seorang telah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat.

“Ini bermakna ada sembilan lagi ahli parlimen. Alhamdulillah, saya faham semua ahli parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab untuk mengurus GLC.

“Ini kerana mereka semua layak, mereka adalah ahli parlimen,” kata Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS.

Rafidah berkata, negara sepatutnya mencapai status negara maju pada 2020, sebaliknya tercatat dalam sejarah secara diam-diam kerajaan diubah dan diambil alih melalui pintu belakang oleh kumpulan yang tidak mengetahui atau faham bagaimana untuk memimpin sebuah negara.

Dan jelas kata Rafidah, kompas telah ditetapkan ke aras kemusnahan sendiri.

“Jelas gear undur sudah dimasukkan, kita semakin mengelungsur ke belakang. Ketika satu dunia serius dengan pandemik Covid-19, wakil kerajaan bercakap tentang kerusi selesa untuk setiap orang dalam gang mereka,” katanya.

Selain itu katanya, mereka mencadangkan perkara yang tidak sepatutunya ketika musimwabak seperti membenarkan kedai gunting beroperasi, sedangkan tukang gunting pun tidak mahu.

“Kita berhadapan dengan Covid-19 dan keadaan ekonomi dan sosiekonomi selepas bencana ini akan menyusul. Tolonglah serius mentadbir negara ini.

“Kita mesti sasar dan sokong kunci yang memacu ekonomi utama negara dan program mesti berdasarkan kesemarataan dan adil serta hasil yang optima tanpa memihak,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button