Ekonomi

National CEO Symposium kumpulkan perniaga berlandaskan syariah

NATIONAL CEO Symposium 2025 merupakan platform patuh syariah yang direka untuk mengumpulkan usahawan dari pelbagai sektor bagi memperluas lanskap perniagaan, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di persada antarabangsa.

Dengan matlamat memacu ekonomi yang lebih mampan, simposium ini diharapkan menjadi batu loncatan untuk memperkukuhkan daya saing syarikat-syarikat Malaysia di bawah naungan Dewan Perniagaan Muslim Insider (Muslim Insider) sambil membuka ruang pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. (Adj) Hj Adam Shah Abdul Rahman, simposium ini akan memberi maklumat penting kepada para pemimpin perniagaan untuk memastikan kelangsungan dan keuntungan perniagaan sepanjang tahun 2025.

 

“Untuk menyertai Simposium ini, peserta mesti merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pembuat keputusan dalam syarikat yang mencatatkan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM5 juta, memiliki rekod perniagaan bersih, serta mempromosikan mesej jenama positif,” jelasnya dalam satu sidang media di Hotel Avante.

Beliau turut menekankan bahawa objektif simposium adalah membantu CEO serta pengurusan tertinggi bersiap sedia menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih yakin. Dengan kriteria penyertaan yang ketat, ia diharap dapat memastikan bahawa hanya pemimpin yang benar-benar komited terhadap pertumbuhan dan keberkesanan perniagaan dapat terlibat dalam acara ini.

Dalam perkembangan yang sama, KNKV Group juga mengumumkan perlantikan Senator Datuk Seri Dr. Hjh Zurainah Musa sebagai Pengerusi baharu.

 

Beliau menyokong Belanjawan 2025 yang disifatkan sebagai langkah penting untuk menghadapi cabaran perniagaan pada tahun depan. Menurutnya, peruntukan lebih daripada RM5 bilion melalui pelbagai inisiatif mampu menyokong pertumbuhan perniagaan serta inovasi di Malaysia.

“Belanjawan 2025 menawarkan geran untuk pendigitalan, pembangunan kapasiti, dan insentif cukai. Dana ini secara khusus menyokong pembangunan perniagaan, eksport, serta golongan usahawan muda dan wanita. Ini adalah peluang berharga bagi perniagaan untuk berkembang, berinovasi, dan mencapai matlamat ekonomi Malaysia,” tambah beliau.

National CEO Symposium 2025: Where Top Industry Leaders Coverage, turut menyediakan peluang untuk para CEO membina rangkaian perniagaan dengan pembuat keputusan teratas serta akses kepada manfaat perbankan eksklusif.

Di samping itu, para peserta turut menerima pendedahan mengenai strategi dan prospek perniagaan 2025 melalui sesi temuduga dengan media korporat serta pandangan daripada pakar industri.

Dengan pendekatan ini, National CEO Symposium 2025 bukan sahaja bertindak sebagai platform jaringan tetapi juga sebagai ruang perkongsian ilmu yang memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button