Nasional

Nasihati Sajat dengan baik – Dr. Asri

MUFTI Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajat, memakai pakaian menyerupai wanita itu adalah salah di sisi agama, namum umat Islam perlu menasihatinya.

Katanya beliau terkilan dengan tindakan orang ramai terus menghukumnya dan mengatakan bahawa  Muhammad Sajad dilaknat Allah, adalah satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama.

“Kita perlu nasihat beliau (Muhammad Sajad) secara baik. Cuma saya tidak bersetuju orang ramai mengatakan bahawa beliau dilaknat Allah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini kesal dengan tindakan usahawan kosmetik Muhammad Sajad, yang menjalani ibadah umrah dengan berpakaian seperti wanita, malah telah mencemarkan imej Islam.

Di KELANTAN, Mufti Kelantan Datuk  Mohamad Shukri Mohamad berkata ibadat golongan ‘transgender’ yang beragama Islam tetap sah, walaupun individu berkenaan telah menukar bentuk fizikalnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Islam menghalang tasyabbuh (kesamaran) identiti, kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan ibadat.

“Apa yang penting individu ‘transgender’ itu perlu berhati-hati ketika melakukan pergaulan, dengan hanya bergaul dengan golongan daripada jantina asal dia sahaja (ketika berada di masjid).

Di KUANTAN, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Muhammad Sajad, yang didakwa memakai telekung semasa mengerjakan umrah yang tular di laman sosial.

Katanya beliau telah meminta supaya mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk mengeluarkan kenyataan, yang dilihat lebih layak dalam perkara itu. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button