Musim sejuk di Gaza: Derita berganda, hospital musnah, bayi membeku
Serantau Muslim memandang serius laporan terkini dari UNRWA mengenai kematian bayi-bayi Palestin yang membeku di Gaza. Ini bukan sahaja tragedi kemanusiaan, tetapi seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung NRC Jan Egeland, ia adalah “bencana buatan manusia dari A hingga Z.”
Derita rakyat Gaza kini berganda dengan musim sejuk yang melanda. Sekurang-kurangnya empat bayi telah maut membeku, manakala seorang petugas kesihatan, Al-Hakim Ahmed al-Zaharneh ditemui kaku dalam khemahnya di al-Mawasi. Israel masih menyekat kemasukan bantuan termasuk selimut dan keperluan asas musim sejuk, menyebabkan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan.
Keadaan bertambah kritikal apabila Hospital Kamal Adwan turut diserang tentera Israel, dengan bilik pembedahan dan makmal dibakar. 350 orang termasuk 75 pesakit dan 185 kakitangan perubatan dipaksa keluar, manakala lima kakitangan perubatan termasuk pakar pediatrik terkorban. Serangan ke atas hospital ini selepas serangan ke atas Hospital Indonesia dan Al-Awda menunjukkan umat Islam di Gaza kini sudah tiada tempat untuk bergantung harap.
WHO sendiri telah memberi amaran bahawa tindakan Israel membongkar secara sistematik sistem kesihatan Gaza adalah hukuman mati bagi puluhan ribu rakyat Palestin. Ratusan ribu penduduk Gaza kini terpaksa bertahan dalam khemah plastik yang rapuh menghadapi musim sejuk, tanpa bekalan makanan dan perubatan yang mencukupi.
Menjelang 2025, krisis kemanusiaan di Gaza seakan semakin disisih dari perhatian dunia. Penggunaan veto Amerika Syarikat di Majlis Keselamatan PBB dan sikap acuh tak acuh kebanyakan negara Barat membuktikan kegagalan sistem antarabangsa untuk melindungi nyawa rakyat Palestin.
Kami sebagai NGO di Malaysia sentiasa bersedia untuk meneruskan usaha bantuan ini. Kami menyeru kerajaan untuk meneruskan kerjasama dengan NGO-NGO tempatan, selain meningkatkan usaha mendapatkan laluan bantuan melalui sempadan yang masih boleh diakses.
Serantau Muslim menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa bagi membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Kami mohon kerajaan Malaysia meningkatkan tekanan diplomatik dan mengambil langkah-langkah proaktif seperti menggerakkan misi bantuan kecemasan musim sejuk dan bekalan perubatan melalui kerjasama dengan negara-negara jiran.
Kita tidak boleh membiarkan rakyat Palestin terus menderita tanpa harapan. Semoga Allah SWT melindungi saudara-saudari kita di Gaza dan memberi kekuatan kepada mereka menghadapi ujian yang getir ini. Kita juga berdoa agar dunia segera sedar dan bangkit mempertahankan kemanusiaan di Gaza.
MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
Setiausaha
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim