Belang Bertempat

Muafakat Nasional: Bersatu jangan tak terdakap tangan…

WALAUPUN pimpinan Parti Bersatu kelmarin Sabtu 15 Ogos memutuskan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), ia bukan bermakna urusan selepas ini berjalan lancar.

Maksud Belang, masih banyak kerja lagi yang perlu diuruskan. Berat, yakni kerja-kerja pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri antara UMNO, Pas dan Bersatu. Ya, tidak semudah itu.

Bersatu dikatakan tiada akar umbi seperti UMNO dan Pas. Berbaloikah untuk Bersatu diberikan lebih banyak kerusi atau sama kadarnya dengan UMN0 atau mungkin lebih?

Belang fikir Bersatu tidak bolehlah mendakap pokok yang terlampau besar. Tidak terdakap tangan, tidak sampai ke seberang.

Carilah pokok yang kita boleh sampai tangan. Ini bererti mungkin mengikut bilangan yang sudah menang.

Kedua, Bersatu harus membuktikan di mana presiden parti dan rakan-rakan Pusat boleh mentadbir parti tadi secara berkesan dapat dinilai oleh orang di peringkat akar umbi.

Kalau nak menetapkan dari segi teori memang sukar. Memang Bersatu tidak sebesar UMNO, tetapi jangan lupa, UMNO yang sebesar itu pun kalah sebabnya tidak sampai berita dengan apa yang dijanji.

Maka perlu dikombinasikan ketiga-tiganya – UMNO, Pas dan Bersatu. Terbaik sekali terutamanya UMNO dan Pas – dua parti ini secara realistik membuat sekarang assesment di setiap kawasan Parlimen mereka, boleh menang atau tidak.

Ada kawasan yang Belang fikir dari 122 kerusi Parlimen yang bermajoriti Melayu boleh difikirkan, contohnya kira-kira 35 kerusi diperuntukkan kepada Bersatu. Itu sudah kira lebih. Kalau dapat yang sekarang ini pun sudah memadai.

Dalam pada itu UMNO perlu melihat balik apa capaian setiap wakil rakyat Parlimen mereka. Ia lebih kepada capaian, berbanding tokoh semata-mata.

Itu Belang fikir kunci untuk MN atau Perikatan Nasional (PN) berdepan pilihan raya umum kali ini.
Itu jika berjalan lancar rundingannya. Tetapi bagaimana kalau masing-masing enggan mengalah? Hal inilah yang harus dirungkaikan nanti.

Jangan hendaknya ada sebutan yang negeri ini untuk Pas, negeri ini untuk UMNO, negeri ini untuk Bersatu. Itu tidak bijak.

Di Kelantan misalnya hendaklah ada tali tiga sepilin. Ada UMNO, ada Pas, ada Bersatu. Untuk Pas majoriti, tapi selingan bawahnya ada. Ya, itu baru kita boleh letakkan tungku tiga sejerang tadi. Tungku tiga sejerang ini masaklah gulai. Kalau tidak, kita menjadi masalah.

Di Negeri Sembilan contohnya, Pas masuk bertanding. UMNO masuk, Bersatu pun masuk. Cuma nisbahnya itu terserah kepada perbincangan yang tepat dalam kalangan pemimpin kita.

Mengenai lambang mana yang perlu dipakai oleh MN atau PN, hendak pakai lambang BN, barangkali ramai pihak yang mungkin tidak setuju. Pas mungkin tidak setuju. Elok cari lambang baharu. Tetapi lambang baharu mestilah mudah hendak dihurai dan senang difahami, aspirasinya nampak.

Lambang baharu hendaklah diperkenalkan. Dan ketiga, dasar MN/PN hendak membela Islam dan Melayu perlu jelas dan tidak apologitik.

Orang bukan Melayu jangan marah. Hak anda ada tetapi kita dalam kancah Melayu dan Islam ini perlu jelas kepada `orang kita’.

Namun isu terbesar adalah isu ekonomi perut. Kalau rakyat merasakan isu ekonomi perut dapat diatasi ke perenggan 50 peratus lebih, sudah sangat baik bagi MN/PN.

B40 perlu diperjuangkan hak mereka dan bagaimana orang yang jadi nelayan, penoreh jelas kepada MN/PN.
Tidak usah buat manifesto macam Pakatan Harapan. Bebankan semua orang. Tidak terbawa. Sangat teoritikal.

Cuma masalah kita di negara ini untuk mencapai matlamat ialah politik kekitaan yang begitu tebal. Tidak dapat mengatasi politik keislaman sejagat.

Justeru, kalau itu tidak tercapai, kita bercantum-bercantum pun tidak menjadi satu matlamat murni. Ia mesti diisi.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) baru berlalu dua tahun. Boleh lagi mandat rakyat yang berbaki tiga tahun diterus dan dilaksanakan.

Bermakna ada lagi dua tahun tujuh bulan. Dan bergantung kepada Parlimen. Kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad asak Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah tentu beliau panas dan tidak bertahan jika kalah dalam pengundian bajet.
Kalau itu berlaku, cepatlah PRU. Habis bulan Oktober selesai.

Dalam tempoh dua bulan bermakna hujung tahun masa musim tengkujuhlah PRU-15.

Bersediakah MN/PN dengan gelanggang pengagihan kerusi yang barangkali berbahang nanti?-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button