Meskipun jangka hayat 3 bulan, Lan Zailan tekad lawan kanser
PELAKON veteran Lan Zailan kekal bersemangat meskipun disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat. Keputusan untuk tidak menjalani kemoterapi didorong keyakinannya bahawa dia mampu melawan penyakit itu dengan kekuatan diri dan sokongan keluarga.
Walaupun pada awalnya terkejut dengan jangkaan doktor bahawa hayatnya mungkin hanya berbaki tiga bulan, Lan menerima berita tersebut dengan tabah. Sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan turut menjadi pendorong untuk terus berjuang.
“Memang pada awalnya abang terkejut, tapi dia yakin mampu lalui dugaan ini. Saya lihat dia sangat kuat. Saya pegang tangan dia dan minta kita sama-sama lawan kanser ini. Walaupun sedih, saya kawal perasaan kerana tak mahu dia lebih kecewa,” kata isterinya, Ruby Sara Omar, 51, ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Khamis.
Ruby turut berkongsi bahawa Lan bersedia mempertimbangkan rawatan alternatif selain kemoterapi, namun keputusan akhir akan dibuat selepas perbincangan bersama doktor dan anak-anak pada Jumaat ini.
“Doktor maklumkan bahawa pembedahan dan ubat-ubatan tidak membantu kerana kanser sudah di tahap akhir. Lan pula memilih untuk tidak menjalani kemoterapi kerana bimbang keadaan fizikalnya semakin lemah. Dia mahu lawan secara semula jadi,” jelas Ruby.
Dalam pada itu, Lan kini menghadapi cabaran kehilangan selera makan dan hanya meminta buah pir sebagai makanan utamanya.
“Dia bukan jenis pemakan. Bila ditanya nak makan apa, dia hanya minta buah pir. Makanan lain cuma sesuap dua. Setiap kali makan, saya kena pujuk macam pujuk anak kecil,” tambah Ruby.
Lan dimasukkan ke PPUM selepas mengalami batuk berpanjangan sejak Oktober lalu. Keadaannya semakin merosot dengan penurunan berat badan yang mendadak, menyebabkan dia memerlukan rawatan lanjut.
Walaupun berdepan ujian berat, keluarga Lan tetap berpegang pada harapan dan terus memberikan kekuatan moral untuknya meneruskan perjuangan melawan kanser.