Mentor-Mentee: Pelajar POLIMAS belajar jadi usahawan kopi
PROGRAM Mentor-Mentee memberi peluang kepada pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah untuk belajar menjadi usahawan kopi.
Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, Siti Hasmiza Hassan berkata, program ini diwujudkan bagi membantu pelajar POLIMAS mendapatkan pengalaman dan mempraktikkan ilmu keusahawanan dalam operasi perniagaan sebenar dengan industri, semasa sesi pengajian berlangsung.
“Ilmu yang diperoleh dalam kuliah kini dapat dipraktikkan di kiosk perniagaan Mentor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kiosk Keusahawan Ricetta Coffee di POLIMAS.
Kiosk ini diusahakan oleh syarikat Mentor iaitu Fami Vision Enterprise yang dimiliki Zulfahmi Fadzil yang merupakan Alumni POLIMAS.
Beliau berpengalaman dalam bidang perniagaan kopi premium (Fresh Bru Coffee Machine) dan mempunyai sebuah kiosk kafe yang telah beroperasi selama setahun di Tasik Darul Aman.
Menurut Zulfahmi, industri ini sangat berpotensi pada masa kini kerana minuman kopi sekarang ini sangat digemari terutama oleh golongan muda.
Sebanyak enam pelajar POLIMAS telah menyertai program ini.
Salah seorangnya, Zulfa Husna Khairil Zulhelmi berkata, penyertaan beliau ini kerana minat dalam berniaga.
Mohamad Hazim Mohamad Rosidi pula berkata, beliau ingin belajar dengan lebih mendalam untuk mendapat kemahiran menyediakan kopi.
Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud, semasa perasmian Kiosk Keusahawanan Ricetta Coffee berkata, program ini akan dapat memupuk nilai-nilai keusahawanan yang tulen seperti belajar untuk mengambil risiko, memupuk minda keusahawanan, kemahiran dan kecekapan membuat keputusan serta dapat mengembangkan jaringan rangkaian usahasama. – SM