MCMC ambil keterangan YB Sungai Burong
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri.
Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Namun, pihak MCMC telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Selangor.
“Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan ADUN berkenaan, YB Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin pada 7 Januari 2025 bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan,” kata MCMC dalam kenyataan media.
Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih. Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat. – SM