Nasional

MB Johor jangan buat kerja gila!

BERIKUTAN penularan virus Covid-19 yang begitu drastik hingga menyebabkan dua kematian dan salah seorang mangsa berasal dari Johor, Menteri Besar Johor dinasihatkan untuk tidak meneruskan cadangan memohon pelepasan khas daripada kerajaan pusat bagi membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik atas tujuan pekerjaan.

Tindakan begitu bukan sahaja disifatkan tidak bijak, malah tidak selari dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah beliau turut merayu kepada rakyat Malaysia supaya duduk di rumah dan keluar jika ada keperluan sahaja.

Maka, cadangan Menteri Besar Johor itu tidak sewajarnya timbul sekali gus pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura sepatutnya terus kekal di negara tersebut selama tempoh 14 hari yang ditetapkan.

Jika soal pembiayaan penempatan yang menjadi isu, cadangkanlah kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Singapura untuk mendapatkan kata sepakat yang memberi manfaat bersama, situasi menang-menang untuk semua pihak terlibat.

Isu Covid-19 adalah merupakan soal keselamatan dan kesihatan sekali gus perkara tersebut sepatutnya dikawal dengan serius dan segala arahan dikeluarkan kerajaan tidak boleh diambil mudah.

Jika ada pekerja Malaysia yang dibuang kerja, kerajaan negeri perlu menimbangkan keadaan mereka. Mungkin boleh diberi bantuan kewangan selama sebulan secara “one-shot” dengan jumlah yang patut diberikan boleh ditentukan selepas perbincangan bersama pakar-pakar ekonomi negeri.

Apa yang sepatutnya Menteri Besar Johor buat adalah memastikan tiada peningkatan kes di Johor dan memastikan keadaan sentiasa terkawal supaya rakyat tidak panik dan bukannya mengeluarkan kenyataan memohon cadangan pelepasan khas itu.

Sebaliknya, Menteri Besar Johor perlu mengeluarkan kenyataan menyeru semua rakyat negeri itu supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Meminimumkan pergerakan rentas negeri atau negara dilihat sebagai satu tindakan efektif yang dapat mengawal virus ini daripada terus menular.

Oleh itu, Menteri Besar Johor perlu faham bahawa Malaysia sedang giat berusaha untuk mengurangkan statistik penularan dan memohon pengecualian ke atas mereka yang bekerja di Singapura bakal membantutkan usaha dibuat kerajaan.

Menteri Besar Johor itu sepatutnya memikirkan kesan yang bakal menimpa keseluruhan penduduk Johor dan rakyat Malaysia. Bukannya hanya segelintir pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Para pekerja terbabit menyumbang kepada pembangunan ekonomi Singapura, sepatutnya kerajaan negara jiran itu memikirkan langkah yang lebih bijak.

Lebih lagi, kes di Johor juga mencatatkan peningkatan kepada 88 daripada 77 kes sehingga semalam.

Maka, jika tidak dibendung dengan baik, dikhuatiri angka tersebut bakal bertambah.

Penambahan peningkatan kes itu yang harus dielakkan kerana pengesanan awal Covid-19 tidak semestinya tepat dan perlu kepada ujian yang berperingkat.

Sehubungan itu, kepada pihak-pihak yang menasihati Menteri Besar Johor, berilah buah fikiran yang mampu menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat Johor secara kolektif.

Jangan hanya bertindak ikut suka hati tanpa memikirkan maslahat keselamatan dan kesihatan rakyat Johor khususnya.

Janganlah penasihat Menteri Besar Johor menjadi seperti penasihat Sadiq Segaraga yang akhirnya membuatkan beliau dijual dan segala hartanya dirampas.

Hakikatnya, tidak ada jalan lain selain menyahut seruan kerajaan pusat demi membendung virus tersebut daripada terus menular. Usaha memutuskan rangkaian penularan virus Covid-19 menjadi agenda utama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dan itu sebenarnya yang perlu dititikberatkan buat masa ini wahai Menteri Besar Johor. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button