NasionalNegeriUncategorized

Masyarakat perlu sedar agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksana bersendirian – Raja Muda Perlis

MASYARAKAT perlu sedar bahawa, agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan bersendirian tanpa perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan Pendidikan Negara mencapai tahap dan kualiti yang tinggi setanding negara-negara maju yang lain.

Kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan erat antara sekolah dengan Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG), orang ramai, agensi kerajaan, swasta, korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya dilihat perlu sentiasa dipertingkatkan.

Oleh kerana pendidikan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah globalisasi, fenomena sosial serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu perlu dilakukan demi perubahan pemikiran dan pendekatan, sejajar kehendak dan perubahan pendidikan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 114 orang asnaf terpilih di Masjid Al-Ridzuan, Kampung Behor Masjid dekat Kangar baru-baru ini.

56 daripada penerima adalah dari kalangan anak kariah Kampung Behor Masjid manakala 58 lagi penerima ialah dari kariah Kampung Tok Kaya.

Masing-masing menerima sumbangan daripada MAIPs bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM79,800 daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Setiap penerima juga membuat pemeriksaan kesihatan sempena program ‘Perlis Hebat! Rakyat Hidup Sihat’ tersebut atas inisiatif MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri sebelum menerima sumbangan.

Dalam perkembangan yang lain, Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCoEE) yang merupakan Pusat Kecemerlangan naungan MAIPs di bawah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sedang mengadakan Bengkel Hala Tuju sebagai medium perubahan pemikiran dan kecemerlangan kepada pendidikan di negeri Perlis ini.

Antaranya ia melibatkan aspek-aspek Pembangunan Sumber Manusia, Pendigitalan, Penyelidikan & Penerbitan, ‘Branding’ serta ‘Business Model’ yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIPs dan Pengerusi FCoEE, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button