Masyarakat perlu cakna kesihatan mental – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa kesihatan mental amat penting kerana ia menyumbang kepada kecerdasan minda dalam melahirkan individu yang cemerlang yang akan memimpin negara kelak.
Masyarakat mesti cakna mengenai segala simptom yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental dan pada masa yang sama mempunyai strategi bagi mengatasi kemerosotan kesihatan mental dengan sentiasa berhubung dengan orang di sekeliling, meluahkan kerisauan yang ada, perhatikan kesihatan fizikal masing-masing serta mendapatkan bantuan profesional sebelum terlambat.
Demikian dititahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Penutup Program Minda Cerdas Komuniti Gemilang – Siri 1” anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum, Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang semalam.
Program Kesedaran Kesihatan Mental di kalangan komuniti belia dan mahasiswa dari kalangan keluarga asnaf dan B40 di negeri Perlis selama dua hari ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Program KPT PRIHATIN – Komuniti Sejahtera (KRIS). Ia turut mendapat dokongan padu daripada pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Faizuddin Centre of Excellence (FCOE) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Dr Mohd Yusoff Mashor
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi FCOE Profesor Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USM Prof Dato’ Dr Narimah Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Nasihat Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan KUIPs, ‘Jagalah kesihatan anda semua, kerana “Mencegah adalah lebih baik dari mengubati”. Jadikanlah diri anda sebagai contoh dan teladan kepada orang sekeliling’.
Dengan inisiatif yang telah diambil oleh para akademia dan ilmuan daripada USM, UniMAP, FCOE dan juga MAIPs dalam menyumbang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, tentunya banyak lagi buah fikiran ilmuwan kita dalam pelbagai bidang untuk memanfaatkan masyarakat yang dapat digunakan untuk melakukan perubahan. Baginda juga berharap agar sumbangan ahli akademik dan ilmuwan kita ini dihargai dan dijadikan sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara.
Program berkenaan pada kali ini melibatkan kehadiran para pelajar yang berasal dari negeri Perlis terpilih yang kini sedang melanjutkan pelajaran di USM, UiTM Cawangan Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Kolej Komuniti Arau dan juga UniMAP sendiri.