
Masjid Al-Aqsa simbol perpaduan, keadilan Islam – Raja Muda Perlis
TAMBUN TULANG, Arau – Kepentingan Masjid Al-Aqsa dalam sejarah Islam dengan peristiwa Israk dan Mikraj menjadi salah satu peristiwa agung dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Masjid Al-Aqsa bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga simbol perpaduan umat Islam yang perlu dihormati dan dipertahankan.
“Peristiwa Israk dan Mikraj mengajar kita untuk sentiasa meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT, memperkukuh iman, dan mengambil pengajaran daripada sejarah. Masjid Al-Aqsa juga bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga lambang perpaduan dan keadilan Islam”.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs di Masjid Babul Ibadah Chemumar, Tambun Tulang baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Majlis sumbangan ini juga merupakan aktiviti rutin yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.
Para asnaf terpilih yang hadir menerima sumbangan ini menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan turut mendengar ceramah ‘Menjauhi Najis Dadah’ oleh AADK Negeri Perlis serta ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.
Masing-masing menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700 yang melibatkan 75 orang penerima daripada kalangan anak kariah Chemumar tersebut dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM52,500 diagihkan oleh MAIPs pada edisi kali ini.