Luar Negara

Malaysia-UK tingkat kerjasama strategik

LONDON 1 Okt. – Malaysia dan United Kingdom (UK) berhasrat untuk meningkatkan lagi tahap hubungan yang lebih strategik. Penyertaan UK ke dalam blok perdagangan ‘Comprehensive Progressive Trans Pacific Partnership (CPTPP)’ memberi ruang potensi kerjasama yang lebih luas dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta bidang-bidang lain seperti sains, teknologi dan industri halal.

Jumlah perdagangan dua hala di antara Malaysia dan UK direkodkan sebanyak RM11.21 billion sehingga Ogos 2024.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disembah maklum oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar setelah menerima sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM5,000 daripada MAIPs.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada MAIPs itu di Windsor Suite Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow sempena keberangkatan Baginda ke London yang diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda akan berangkat melawat ke kilang Siemens Mobility Limited sempena pemeteraian perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. dengan Siemens Mobility Sdn. Bhd di InnoTrans Berlin 2024 baru-baru ini.

Untuk rekod, Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

Tambah Datuk Zakri, ‘Hubungan dua hala Malaysia dan United Kingdom yang terjalin rapat sejak kemerdekaan merangkumi pelbagai bidang kerjasama dan berlangsung hampir di setiap peringkat; dari peringkat teratas kepimpinan negara hinggalah ke peringkat rakyat biasa’.

Antara bidang-bidang utama terjadinya kerjasama ini adalah dalam hubungan perdagangan, pelaburan, pengajian tinggi, keselamatan dan pertahanan serta pelancongan.

(Foto : Ihsan MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button