Nasional

Malaysia, Pakistan meterai Perjanjian Ekstradisi

MALAYSIA  dan Pakistan hari ini memeterai satu Perjanjian Ekstradisi.

Ini bagi mengukuhkan momentum positif dalam hubungan dua hala dengan meningkatkan kerjasama melibatkan keselamatan dan jenayah transnasional.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian itu boleh diguna pakai ke atas pengganas dan penjenayah.

Ia dimeterai di Putrajaya sempena dengan lawatan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ke Malaysia,

“Jika mana-mana penjenayah melakukan jenayah di Malaysia perlu berlindung di negara lain, menerusi ekstradisi ini, kita boleh mendapatkan negara berkenaan bagi membantu kita menangkap penjenayah berkenaan.

“Ia mungkin melibatkan pengganas atau penjenayah. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan di Malaysia dan ingin mendapatkan suaka,” katanya pada persidangan akhbar bersama di sini, hari ini.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada persidangan akhbar itu selepas mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir berkata, terdapat penjenayah warga Pakistan di Malaysia yang terbabit dalam pembunuhan telah diekstradisi dari Malaysia malah sebelum perjanjian itu diwujudkan.

Sebagai dua buah negara Islam yang pentingkan keamanan, Dr Mahathir berkata Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk meningkatkan usaha kerjasama bagi memartabatkan nilai sebenar Islam dan pada masa yang sama mengukuhkan kedaulatan ummah Islam itu sendiri.

Dr Mahathir berkata, Malaysia akan terus memupuk dan meningkatkan hubungan dua hala dengan Pakistan dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan dan pelaksanaan undang-undang, pelancongan dan pendidikan.

Dengan lawatan kerja Imran Khan itu ia mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua negara untuk kebaikan bersama, kata Dr Mahathir dan menambah, “Kami bersetuju untuk menggalakkan lebih banyak pertukaran lawatan di semua peringkat bagi pembentukan asas yang kukuh dalam menetapkan hala tuju hubungan dua hala kita pada masa hadapan.”

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Pakistan bersetuju berhubung keperluan diadakan perbincangan yang kerap bagi tujuan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan memansuhkan halangan dalam sektor utama serta mengurangi ketidak seimbangan barangan dalam hubungan dua hala.

Malaysia dan Pakistan, katanya, berharap dapat menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama kali keempat bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) di Islamabad.

Sementara itu, Imran Khan bagi pihak Pakistan dan penduduk Kashmir mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana menyuarakan secara lantang mengenai ketidak adilan yang berlaku di Kashmir.

Ini adalah kali kedua bagi Imran Khan, seorang bekas bintang kriket, melawat Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Ogos 2018. Lawatan pertama beliau pada November 2018. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button