Nasional

Malaysia mampu jadi peneraju ekonomi Asia-PM Anwar

Malaysia mampu muncul sebagai peneraju ekonomi Asia, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi dengan syarat, Ekonomi MADANI direalisasikan.

Bagi mencapai hasrat itu, struktur ekonomi negara juga perlu dirombak dan antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya.

“Umpamanya sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 25% kepada KDNK. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang bakal diumumkan pada bulan hadapan akan memacu semula perindustrian dan memangkin ekonomi baharu,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, dalam jangka masa pendek, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Parlimen akan memberi ruang untuk Kerajaan membuat penilaian semula dan menyusun keutamaan termasuk mengadun sebuah pertumbuhan jangka sederhana dengan dasar fiskal yang lebih mampan.

Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri Anwar juga berkata, Malaysia perlu meneladani negara-negara yang dahulunya jatuh tetapi tangkas dan bangkit semula di hadapan.

“Mahu tidak mahu, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu ada minda global dan mengutamakan pengantarabangsaan ekonomi.

“Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana,” ujar beliau.

Kata Anwar lagi, “Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4% hingga 5%.

“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%.”

Kata Perdana Menteri Anwar, untuk merealisasikan sasaran besar ini:
• Kita perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.
Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.
• Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.
Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.
• Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan kimia secara keseluruhan.

“Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi,” jelas beliau.

Anwar memberi contoh, kluster di Pulau Pinang perlu tumpu kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design.

“Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals).

“Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi,” katanya.  – SM

BACA Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat penstrukturan semula ekonomi negara

BACA PM Anwar akan sempurnakan Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button