Malaysia akan terima 150,000 pengawal keselamatan dari Pakistan?
MEDIA Pakistan, The Nation melaporkan Malaysia akan menerima antara 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan dari negara tersebut.
Akhbar berkenaan pada 3 Februari lalu melaporkan, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Amna Baloch berkata, Malaysia telah berbincang dengan Pakistan berkaitan perkara itu.
Menurutnya pengambilan pengawal keselamatan itu dibuat berikutan Malaysia telah menghentikan pengambilan pekerja kurang berkemahiran.
“Rundingan awal antara kedua-dua negara telah diadakan pada tahap tertinggi sementara modaliti untuk memformalkan proses pengambilan sedang dijalankan,” kata Amna.
The Nation turut melaporkan, seorang pegawai kanan dari Pembangunan Sumber Manusia dan Kementerian Luar Pakistan mengesahkan perkembangan tersebut.
Menurutnya, Malaysia berpotensi untuk merekrut 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan dari Pakistan.
Beliau berkata perjanjian untuk menghantar pengawal keselamatan Pakistan ke Malaysia dijangka akan dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ke Kula Lumpur.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkongsi berita tersebut, melontarkan pertanyaan sama ada laporan tersebut benar.
“Perjanjian ini tidak dilaporkan dalam media tempatan Malaysia tetapi telah dilaporkan oleh media negara Pakistan yang memetik Duta Pakistan.
“Malaysia telah berjanji untuk menerima 150,000 pekerja Pakistan. Ini peluang paling baik untuk hantar pekerja tidak berkemahiran ke Malaysia. Telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi kedua negara. Perjanjian ditandatangan masa PM Pakistan lawat Malaysia minggu lepas.
“Betul ke ini atau duta Pakistan berbohong?” tanya Najib.
BACA JUGA: 150,000 Pakistani guards will get job in Malaysia: HC
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, tiba di Malaysia pada 3 Februari lalu untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Ini adalah lawatan kerja kali kedua Imran Khan ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018.-SM