Politik

‘Makan sedap, dewan ceria’, Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen

“Makan sedap, dewan ceria”.

DEMIKIAN ringkas beberapa Ahli Parlimen yang menghadiri ‘Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen’ di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam ini.

Kelihatan hadir dalam majlis tersebut seperti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, pemimpin UMNO seperti Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Tan Sri Noh Omar, Datuk Ahmad Maslan.

Selain itu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah hadir mengiringi Ahmad Zahid.

Beberapa bekas Menteri dalam kerajaan Barisan Nasional dahulu turut hadir seperti Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin.

[BACA ARTIKEL] Kesemua ahli parlimen hadir jamuan makan malam Azmin nyata sokongan kepada Tun M — Suara Merdeka
[BACA ARTIKEL] Moga kerajaan baharu dibentuk lebih stabil dan pertahanan Perlembagaan — Suara Merdeka

Mewakili Parti Pas pula, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ahli Jawatankuasa Kerja, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali At-Takiri dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut hadir dalam majlis tersebut.

Kehadiran pemimpin UMNO dan Pas dalam majlis itu asalnya menguatkan lagi spekulasi bahawa pembentukan kerajaan baharu akan diumumkan malam ini.

Spekulasi itu turut dikuatkan lagi dengan ketiadaan pemimpin parti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam majlis makanan malam yang dikatakan khas untuk Ahli Parlimen.

Seperti, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC kelihatan hadir dalam majlis makan malam tersebut.

[BACA ARTIKEL] Rakyat tertunggu-tunggu apa berlaku — Suara Merdeka
[BACA ARTIKEL] ‘Pengumuman penting’ politik negara petang ini? — Suara Merdeka

Pembentukan kerajaan baharu

Petang tadi, kecoh dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp apabila pemimpin tertinggi PPBM, UMNO dan Pas bermesyuarat di pejabat masing-masing.

Sementara Mohamed Azmin pula dilaporkan mengadakan pertemuan dengan sembilan pemimpin partinya di Hotel Sheraton.

Mesyuarat tersebut dipercayai membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu serta rombakan kabinet.

Kemudian, media dimaklumkan akan ada sidang akhbar pada pukul 6 petang di hotel yang sama. Bagaimanapun ia ditangguhkan pada pukul 8 malam.

Media yang sudah pun berkumpul sejak kira-kira pukul 3 petang tadi setia menanti sidang akhbar mengenai spekulasi ‘pengumuman penting’ yang tular sejak pagi tadi.

‘Pengumuman penting’ itu adalah berkenaan situasi kepimpinan kerajaan dan politik negara yang dikatakan akan berubah termasuk rombakan kabinet.

Malah, ada yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pembentukan kerajaan baharu. Bagaimanapun, beliau tidak hadir dalam majlis makan malam itu.

[BACA ARTIKEL] Hentikan polemik isu peralihan kuasa, sokong Dr. Mahathir kekal PM- Jaziri Alkaf — Suara Merdeka
[BACA ARTIKEL] PAS batal undi percaya Dr M — Suara Merdeka

Sementara Ahli Parlimen yang hadir pula enggan membuka mulut mengenai spekulasi tersebut sebaliknya sekadar tersenyum apabila ditanya oleh wartawan yang hadir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button