MAIPs tambah RM1.03 juta lagi untuk asnaf
Majlis Agama Islam dam Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM1.03 juta untuk diagihkan kepada 5,150 orang asnaf di masjid-masjid seluruh negeri Perlis.
Simbolik penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di Masjid Alwi Kangar tengahari tadi.
Pada kesempatan yang sama baginda bertitah agar semua pihak yang berkemampuan menerima dan menghadapi realiti semasa dengan memastikan golongan yang berkeperluan sentiasa dapat dibantu.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Inisiatif MAIPs ini sudah pasti bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan, walaupun Perlis diharapkan akan berpindah ke fasa 2 atau 3 Pelan Pemulihan Negara dalam masa terdekat ini, namun bantuan ini amat signifikan kerana rantaian ekonomi yang dijangka akan masih bergerak perlahan’.
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Kesusahan yang dihadapi rakyat pada masa kini harus diterima dan semua pihak harus saling menyokong demi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.’.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor menerangkan bahawa sumbangan berkenaan adalah inisiatif tambahan MAIPs bagi meringanksn beban mereka yang berkeperluan dengan penyaluran peruntukan sumbangan bantuan kecemasan melalui 103 Kariah Masjid di seluruh negeri ini.
Bantuan tambahan berkenaan disasarkan bagi memberikan manfaat kepada seramai 5,150 orang pemohon yang memerlukan bantuan kewangan ekoran pelanjutan pelaksanaan ‘lockdown’ di seluruh negara.
Mereka yang layak menerima bantuan tersebut adalah terdiri daripada mereka yang tidak menerima ‘Bantuan Khas Covid-19 bagi PKP 3.0’ namun menghadapi situasi kecemasan untuk membeli makanan atau keperluan seperti barangan dapur basah, pembayaran utiliti dan sebagainya.
Jelas Mohd Nazim lagi, mereka yang terjejas hanya perlu ke masjid atau bertemu dengan amil atau Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dilantik untuk melaksanakan agihan untuk memaklumkan keperluan bagi tujuan penyaluran sumbangan.
Inisiatif terbaharu berkenaan juga adalah tambahan kepada peruntukan asal sebesar RM7.2 juta seperti yang telah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menjadikan jumlah sumbangan MAIPs bagi bantuan MAIPs untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 setakat ini adalah sebanyak RM8.23juta.
Untuk rekod, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM5.43juta telah diagihkan kepada 18,179 asnaf di seluruh negeri Perlis tanpa memerlukan permohonan, di mana MAIPs telah menyalurkan secara terus sumbangan kepada senarai asnaf sedia ada MAIPs.