Agama

MAIPs perkukuh ekosistem kebajikan negeri Perlis

KANGAR 3 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkukuh peranan dalam ekosistem kebajikan negeri ini apabila menyantuni semua rumah anak yatim dan pusat kebajikan yang beroperasi di Perlis.

Demikian menurut kenyataan MAIPs dipersembah maklumkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dalam satu sesi taklimat di Kangar, baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama anakanda-anakamda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Antara institusi yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Rumah Anak Yatim Mak Teh, Rumah Anak Yatim PKAYPs Jejawi, Teratak Rahmat, Rumah Kanak-kanak Arau, Rumah Sejahtera Baitul Hanan, Rumah Warga Emas Batu Bertangkup dan Rumah Warga Emas Kompleks Tun Dr. Siti Hasmah.

Mohd Nazim merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang menyalurkan sumbangan mereka melalui MAIPs, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui MAIPs kepada golongan sasar dan memerlukan kebajikan.

Beliau turut mempersembah maklumkan kepada Tuanku Raja cadangan kerjasama strategik antara MAIPs dan semua pusat kebajikan di negeri ini agar tiada yang terlepas daripada menerima perhatian dan santunan dalam ekosistem kebajikan bersepadu yang diusahakan MAIPs.

“Usaha ini adalah bagi memastikan tidak ada satu pun institusi atau individu yang terpinggir daripada menerima manfaat kebajikan melalui ekosistem menyeluruh yang digerakkan oleh MAIPs,” ujar beliau.

Inisiatif ini juga bertujuan memperkukuh aktiviti dakwah, pembentukan sahsiah dan pembangunan jiwa dalam kalangan penghuni institusi kebajikan berkenaan.

Foto : Ihsan MAIPs

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button