Agama

MAIPs Laksanakan Proses Pemeriksaan Kira-Kira Akhir Tahun 2024

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melaksanakan proses pemeriksaan kira-kira akhir tahun 2024 dengan perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Lembaga Pemeriksa Kira-kira Akhir Tahun 2024 ini dipengerusikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perlis, Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus Abdul Halim bersama ahli lembaga pemeriksa, Ustazah Khadijah Hariri dan Mohd Rusidan Ishak, yang mewakili Bendahari Negeri Perlis.

Pemeriksaan ini turut dihadiri sebagai pemerhati oleh wakil daripada Jabatan Audit Negara Negeri Perlis, sementara pengurusan dan urusetia diketuai oleh Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Keurusetiaan MAIPs, Halina Abdul Wahid.

Dalam laporan yang dibentangkan, lembaga pemeriksa mendapati terdapat peningkatan positif pada hasil MAIPs di semua kumpulan wang bagi tahun 2024. Peningkatan ini menunjukkan keberkesanan pengurusan kewangan serta keberhasilan strategi pengumpulan dana oleh MAIPs, termasuk hasil daripada zakat, wakaf, dan derma lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, menyatakan bahawa prestasi ini mencerminkan komitmen institusi dalam memastikan dana yang diamanahkan oleh masyarakat diurus dengan telus dan bertanggungjawab.

“Prestasi kira-kira MAIPs ini memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa MAIPs berada di landasan yang betul dalam menguruskan dana umat Islam dan terus memberikan manfaat kepada asnaf serta komuniti,” katanya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan pengurusan MAIPs terus diperkukuh. Baginda berharap agar momentum positif ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada masa akan datang, terutama dalam mempromosikan wakaf sebagai salah satu sumber utama pembangunan masyarakat.

Proses pemeriksaan ini dijangka menjadi asas kepada perancangan strategik MAIPs untuk tahun-tahun mendatang, dengan fokus kepada pengurusan dana yang lebih cekap dan efektif.

Foto Kredit MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button