Jenayah

Mahkamah persekutuan kekalkan hukuman penjara 18 tahun enam bekas pelajar UPNM

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menerima rayuan akhir keenam-enam perayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, iaitu hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar UPNM mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Mereka yang terbabit ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kini berusia 29 tahun.

Keputusan Hakim

Dalam penghakimannya, Hasnah menyatakan bahawa mahkamah mendapati elemen kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa tidak dapat dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk mengembalikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, iaitu sabitan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan persubahatan dikekalkan, dengan hukuman penjara 18 tahun,” katanya.

Kronologi Kes

Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam tertuduh selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan untuk menghidupkan semula pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, sebelum itu, pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi pada 22 Mei 2017. Zulfarhan kemudian meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button