RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya para mahasiswa berusaha untuk menambah ilmu di luar kelas menerusi penglibatan dengan aktiviti sukarelawan.
Baginda bertitah, gunakanlah peluang mempelajari ilmu di luar kelas seperti mengikuti aktiviti kelab atau persatuan serta program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).
Titah Baginda, ini berikutan pelbagai program sukarelawan dianjurkan seperti membantu mangsa banjir, aktiviti di masjid-masjid dan rumah ibadat, serta program motivasi atau aktiviti pembangunan sukan di sekolah-sekolah.
“Penglibatan masing-masing ini diharap akan mampu memberi nilai tambah sebagai mahasiswa yang serba lengkap apabila bergraduasi kelak,” titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa wang tunai RM700, beras serta kotak makanan pada setiap seorang kepada tiga keluarga asnaf terpilih di rumah masing-masing.
Aishah Saad, 84, menetap dalam sebuah keluarga seramai lapan orang, Che Mas Bu Saidin, 87, tahun pula mempunyai masalah kesihatan dan begitu juga Abu Bakar @ Mat Zain Abdullah, 84.
Kesemua penerima tinggal dalam kariah Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap, Simpang Empat.
Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs tersebut sempena program rutin kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ yang diketuai Baginda. -SM