Nasional

Lima kematian akibat demam denggi pada minggu ke-26

DEMAM denggi masih menjadi ancaman kepada penduduk negara ini dengan lima kematian direkodkan pada mingggu epidemiologi ke-26 tahun 2024.

Kementerian kesihatan dalam kenyataan memberitahu, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu ke-26 ini meningkat kepada 2,788 kes berbanding 2,438 kes pada minggu sebelumnya.

Terdapat lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-26 tahun 2024.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-26 adalah sebanyak 75,263 kes berbanding 59,057 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Manakala terdapat 60 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 40 kematian bagi
tempoh yang sama pada tahun 2023,” demikian menurut kenyataan itu.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-26 adalah sebanyak 78 lokaliti berbanding 81 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 78 lokaliti yang dilaporkan, 61 lokaliti di Negeri
Selangor, lima (5) lokaliti di Perak, empat (4) lokaliti di Kedah, tiga (3) lokaliti di Negeri Sembilan, dua (2) lokaliti di WPKL & Putrajaya, dua (2) lokaliti di Sarawak dan satu (1) lokaliti di Pulau Pinang.

Bagi survelan chikungunya, terdapat tiga (3) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-26. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 41 kes.

Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada ME 26/2024. Bagi survelan zika, sebanyak 1,282 sampel darah, tujuh (7) sampel urin dan tiga (3) sampel cecair tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Kawasan lorong belakang rumah serta kebun yang diusahakan oleh orang persendirian atau komuniti berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes jika tidak dijaga dengan baik.

Lakukan aktiviti-aktiviti berikut:-
i. Tutup rapat tempat tadahan air hujan dan tong penyimpanan air
supaya nyamuk tidak dapat bertelur di dalam bekas tersebut.
ii. Bekas yang tidak digunakan namun dalam keadaan baik perlu disimpan atau dikitar semula agar tidak menjadi tempat takungan air.
iii. Barang lusuh atau sampah perlu dilupuskan di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain daripada itu, lakukan gotong-royong kendiri secara berkala bagi memastikan keseluruhan dalam dan luar premis bebas dari tempat pembiakan Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button