Nasional

Lesenkan platform media sosial bantu disiplinkan pengguna internet

LANGKAH Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melesenkan platform media sosial adalah langkah penting bagi memastikan akauntabiliti lebih besar dalam dunia digital.

Tindakan secara langsung akan membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan inklusif di samping membantu mendisiplinkan pengguna media sosial.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran memuji SKMM dan platform media sosial WeChat, Telegram, Meta dan TikTok yang saling berkerjasama dalam Rangka Kerja Pelesenan Media Sosial yang berkuat kuasa semalam.

“Minggu lalu, kita melihat betapa pentingnya peranan kerjasama antara SKMM, polis dan platform media sosial dalam mendedahkan dan menangkap jenayah dalam talian.

“Ia selepas Ops Pedo (dilaksanakan dengan) beberapa siri serbuan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) yang mengakibatkan 13 individu ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mengatakan bahawa mereka tidak memenuhi kapasati lapan juta pengguna yang akan melayakkannya untuk permohonan lesen.

Namun begitu, kata Yuneswaran, jika platform itu bertanggungjawab mereka seharusnya mengambil lesen sebagai langkah kerjasama memudahkan penguat kuasaan dilakukan.

“Mungkin mereka boleh mempertimbangkan untuk memohon (lesen) dalam apa jua keadaan.

“Saya juga ingin menggesa Google, sebagai syarikat induk YouTube untuk terlibat secara konstruktif dengan SKMM untuk menyelesaikan sebarang isu tertunggak dan mematuhi rangka kerja pelesenan,” ujarnya.

Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial ByteDance (TikTok) dan Tencent (WeChat) menjadi dua syarikat terawal diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.

SKMM semalam berkata, dua syarikat itu adalah antara empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button