Lebih 21,000 terima manfaat Hari Komuniti MyPLUS
Hari Komuniti MyPLUS yang diadakan secara serentak di 25 lokasi terpilih hari ini memberi manfaat kepada lebih 21,000 rakyat yang terdiri daripada komuniti di sepanjang jajaran lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Projek-projek kemasyarakatan yang memberi fokus terhadap aspek keselamatan dan kelestarian tersebut dijayakan oleh lebih 1,250 sukarelawan terdiri daripada warga kerja PLUS dan pelajar institusi pengajian tinggi dengan penglibatan komuniti setempat.
Ketika berucap merasmikan Program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Kebangsaan HICOM, Seksyen 27, Shah Alam, hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, kerjasama strategik antara pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS mencerminkan semangat Malaysia MADANI, di mana semua pihak berganding bahu untuk sama-sama meningkatkan kualiti hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Program ini diberi sedikit suntikan kelainan dengan kolaborasi bersama KKR melalui program kementerian yang sedang giat dilaksanakan, iaitu program MYJalan.
“Program Hari Komuniti MyPLUS ini merupakan satu program CSR berskala mega yang Berimpak Murni kerana ia memberi manfaat kepada kira-kira 21,000 rakyat di komuniti terpilih sepanjang lebuh raya. Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat kepada hampir 80,000 orang sejak program ini pertama kali diperkenalkan pada 2013,” katanya.
Turut hadir pada program tersebut adalahKetua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Sazali Harun; Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif, dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Mohamad Nasir dalam ucapannya berkata, Hari Komuniti MyPLUS yang diperkenalkan sejak 2013 merupakan acara tradisi syarikat, di mana setiap tahun, PLUS mendedikasikan satu hari istimewa untuk membolehkan warga kerja mereka turun padang ke komuniti-komuniti sepanjang jajaran lebuh raya bagi menjalankan pelbagai projek kemasyarakatan.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan budaya sukarelawan, malah turut memupuk semangat berpasukan serta daya kreativiti yang tinggi bagi menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Menurutnya, Hari Komuniti MyPLUS tahun ini menyaksikan 25 projek kemasyarakatan dengan tema “‘Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari” dijalankan secara serentak di komuniti-komuniti terpilih di sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS, termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“PLUS sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan komuniti. Kami komited untuk terus memberi manfaat serta impak sosial yang positif kepada masyarakat setempat melalui pelbagai program kemasyarakatan. Ini juga sejajar dengan misi PLUS iaitu ‘Menghubungkan Komuniti untuk Masa Hadapan yang Selamat dan Lestari,” jelas beliau.
Nik Airina pula menambah, projek-projek Hari Komuniti MyPLUS yang dijalankan serentak di 25 lokasi terpilih di seluruh negara ini turut melibatkan pelbagai program komuniti di lapan buah sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi.
Di antaranya meliputi kerja membaik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan dan papan tanda tunjuk arah, pemasangan lampu jalan, mengecat lintasan pejalan kaki dan penanda jalan, membaik pulih jalan, pembaikan pendawaian elektrik, membaik pulih sistem perparitan serta inisiatif-inisiatif kelestarian seperti pemasangan lampu solar LED, menanam pokok, penyediaan tong kitar semula, penyediaan sistem penuaian air hujan, membersihkan sungai, taman rekreasi, pantai dan sebagainya.”
“Di Sekolah Kebangsaan HICOM di Shah Alam ini, PLUS membantu menambahbaik kemudahan sekolah bagi memberi lebih keselesaan serta mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan sejahtera kepada kira-kira 1,400 orang pelajar, guru dan kakitangan sokongan sekolah,” kata Nik Airina.
“Di sekolah ini juga, PLUS menumpukan kepada aktiviti yang memberi kesan kepada keselamatan dan keselesaan pelajar, seperti penambahbaikan sistem perparitan, baik pulih gelanggang serbaguna, serta penggantian meja dan kerusi kantin. Lukisan mural di dinding utama kantin serta pelekat keselamatan jalan raya di meja makan kantin turut menjadi aktiviti utama bagi advokasi dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” tambah beliau.
Selain daripada Hari Komuniti MyPLUS hari ini, PLUS juga secara berterusan melaksanakan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi fokus terhadap keselamatan jalan raya. Ia termasuklah mengadakan program keselamatan jalan raya untuk komuniti serta pelajar sekolah, seminar keselamatan untuk pemandu dan operator kenderaan berat (HEVTEC) serta inisiatif-inisiatif lain yang melibatkan komuniti sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya.
Hari Komuniti MyPLUS kali ini turut melibatkan penyertaan kira-kira 500 pelajar institusi pengajian tinggi antaranya Multimedia University (MMU), Kolej Komuniti Klang, Kolej Komuniti Hulu Langat, INTEC Shah Alam, Segi University, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Yayasan UEM (KYUEM), Management and Science University (MSU), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Politeknik Sultan Azlan Shah,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan lain-lain lagi. – SM