Latihan, pendedahan secara teratur mampu tingkat pencapaian atlet
Kejayaan dan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan memerlukan latihan secara sistematik dan berterusan serta mendapat pendedahan dengan menyertai pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.
Persediaan haruslah dibuat dengan lebih awal sebelum penyertaan di sebarang temasya sukan dalam jangka masa 6 hingga 12 bulan bagi memastikan peserta benar-benar dalam kondisi yang cukup baik bukan sebaliknya berlatih sama ada dua atau tiga bulan atau kurang sebelum kejohanan berlangsung.
Atlet juga perlu diberi pendedahan dengan kejohanan-kejohanan seperti sirkit bergantung kepada sukan masing-masing sebagai persediaan sebelum menghadapi temasya sukan utama seperti Sukan Malaysia (SUKMA) atau yang lebih tinggi.
Tahap disiplin merupakan faktor utama bagi kemenjadian dan prestasi seorang atlet bagi jangka masa pendek atau panjang serta beberapa faktor lain seperti pemakanan dan nutrisi yang mencukupi, tidur dan rehat yang secukupnya, kesihatan mental serta beberapa faktor lain.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meluangkan masa singgah melawat Stadium Nasional Mashood Abiola di Abuja, Nigeria sempena program Safar Ilmi MAIPs ke negara berkenaan baru-baru ini.Demikian menurut kenyataan media MAIPs
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs diiringi Anakanda yang juga Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut mengiring ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, TYT Aiyub Omar, Mufti Perlis, Datuk Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.