Jenayah

Lagi sekali kes budak bawah umur 10 tahun pandu kereta

LAGI sekali budak bawah umur iaitu baru sahaja berusia 10 tahun memandu kereta milik keluarganya sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 itu, kereta terbabit turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama rakannya berusia sembilan tahun.

“Kereta itu dipercayai milik ibu bapa kanak-kanak berkenaan, manakala rakannya pula adalah anak kepada jiran.

“Mereka dari arah Apartment Arowana Impian ke Taman Arowana Impian. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu dikatakan terbabas ketika melalui selekoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kereta terbabit kemudiannya dikatakan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di kiri bahu jalan.

“Akibat rempuhan itu, van berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya,” katanya

Polis menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga supaya memantau tindakan anak-anak bagi mengelak kejadian seperti itu.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan dan jika pelaku adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan diambil tindakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button