KWSP perkenal akses lebih cepat dan pengaktifan bulanan untuk simpanan shariah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memperkenalkan dua ciri utama untuk Simpanan Shariah bagi menyediakan akses lebih pantas dan fleksibiliti kepada ahli yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2025.
Penambahbaikan ini membolehkan pendaftaran Simpanan Shariah dibuat serta merta untuk ahli baharu manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan untuk semua ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah.
KWSP akan melaksanakan penambahbaikan ini berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025 bagi memastikan inisiatif ini berjalan lancar.
Dalam tempoh tersebut, tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih ke Simpanan Shariah adalah
seperti berikut:
Jadual Peralihan
- Sebelum 25 Disember 2024: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Januari 2025.
- Antara 25 Disember 2024 hingga 24 Mac 2025: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 April 2025.
- Antara 25 Mac hingga 31 Mac 2025: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Mei 2025.
- Mulai 1 April 2025 dan seterusnya: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 haribulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari. Contohnya, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April 2025, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Mei 2025. Jika ahli memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 25 April 2025, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Jun 2025 dan bukannya 1 Mei 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh selama tujuh hari tersebut.
Dengan ciri baharu bagi pendaftaran Simpanan Shariah, ahli KWSP baharu kini boleh memilih Simpanan Shariah sebagai akaun pilihan mereka semasa pendaftaran kendiri.
Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya. Di bawah penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh syariah dengan lebih cepat.
Pembaharuan ini dapat memendekkan tempoh menunggu dari tahunan ke bulanan dan memastikan pelaburan ahli adalah patuh syariah lebih awal.
Penambahbaikan ini memberikan ahli kawalan dan fleksibiliti yang lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh syariah.
Untuk maklumat lanjut mengenai ciri penambahbaikan dan pendaftaran Simpanan Shariah, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000. – SM