Ekonomi

KUSKOP salur pembiayaan RM700.93 juta kepada usahawan, koperasi di Sabah

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui 10 agensi di bawahnya telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM700.93 juta kepada 50,879 usahawan dan koperasi dalam tempoh Januari hingga November 2024.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi yang terlibat ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah pada tahun 2024 yang memberi manfaat kepada 1,585 usahawan.

“KUSKOP telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi bagi membantu memecut momentum kejayaan berterusan untuk melonjakkan prestasi usahawan dan koperasi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni MADANI KUSKOP bersama Komuniti Kota Belud Sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Pada majlis itu Ketua Menteri melancarkan Program Khas kementerian Ehsan@KUSKOP bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.

Ewon berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, semua agensi di bawah KUSKOP akan bertindak di bawah satu sinergi dan juga gerak kerja untuk memastikan usaha serta inisiatif yang dirancang berjalan lancar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button