Berita

Kumpulan hak asasi manusia selar langkah serah pelarian Myanmar kepada junta

Kumpulan hak asasi manusia menyelar kerajaan Malaysia kerana bersetuju untuk menghantar pulang 1,200 warga Myanmar di pusat tahanan ke negara mereka yang kini diperintah oleh junta tentera.

Bercakap kepada FMT, jurucakap Inisiatif Utara-Selatan dan Fortify Rights berkata, Putrajaya sebaliknya perlu melindungi mereka.

Satu laporan baru-baru ini menyebut bahawa kerajaan tentera Myanmar, yang melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb lalu, menawarkan tiga kapal tentera laut untuk mengambil semula warganegaranya yang ditahan, yang kebanyakannya merupakan pelarian dan pencari suaka.

“Ini kerja gila,” kata pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira.

“Kenapakah kita perlu bekerjasama dengan kerajaan tidak sah yang dibentuk melalui kudeta dan membahayakan semua orang?

“Sebilangan mereka datang ke sini kerana isu keganasan (di Myanmar) dan ada yang menjadi pelarian politik yang melarikan diri daripada rejim tentera.”

Beliau berkata, tentera mempunyai pengaruh besar ke atas pentadbiran Myanmar hatta sebelum berlakunya rampasan kuasa lagi.

Kumpulan minoriti di Myanmar berdepan diskriminasi dan keganasan yang berterusan, dengan kumpulan seperti etnik Rohingya berdepan kekejaman yang dikutuk secara meluas.

Pereira berkata, langkah menghantar pulang ke negara yang memang sengaja ditinggalkan akan mendedahkan mereka kepada penganiayaan yang cuba dielakkan.

John Quinley III, seorang pakar hak asasi manusia di Fortify Rights berkata, beliau berhubung dengan pelbagai kumpulan pelarian yang meninggalkan Myanmar dan menambah, ketakutan mereka untuk pulang (ke negara asal) adalah berasas.

“Banyak etnik dari Myanmar melarikan diri daripada penganiayaan dan keganasan berterusan tentera yang kini berkuasa,” katanya.

“Daripada menghantar pulang warga Myanmar selepas pengambilalihan ketenteraan, Malaysia sepatutnya melindungi mereka dan menamatkan dasar menahan pelarian dan pendatang.”

Katanya, keputusan menghantar pulang pendatang akan diklasifikasikan sebagai tindakan penghantaran pulang paksa ke negara di mana mereka mungkin berdepan penganiayaan di bawah undang-undang antarabangsa.

Pereira berkata, langkah penghantaran pulang itu bertentangan dengan usaha kerajaan untuk menggambarkan Malaysia sebagai negara yang menghormati hak asasi manusia.

“Malaysia berusaha mendapatkan kedudukan di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kita juga membuat ucapan yang menunjukkan kita menghormati hak asasi manusia,” katanya.

“Apakah mesej yang disampaikan? Bahawa kita bersedia bekerjasama dengan kerajaan yang tidak sah?”

Beliau berkata, Malaysia mengambil sikap menolak kudeta di Myanmar dengan mengehadkan kerjasama dengan junta.

Malaysia secara tidak rasmi mengiktiraf pelarian atau pencari suaka, serta menganggap mereka sebagai pendatang asing tanpa izin dan menempatkan mereka di pusat tahanan bersama-sama dengan kumpulan lain yang tidak mempunyai dokumen sah.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), terdapat lebih 154,000 pencari suaka di Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button