Pendidikan

Kualiti pengajaran, latihan guru KAFA secara tersusun perlu diberi penekanan

KANGAR: Kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui pembangunan serta latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) secara konsisten dan tersusun perlu diberikan perhatian dan penekanan.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah guru KAFA hendaklah dilatih dengan modul latihan terkini dan metodologi pengajaran berkesan selain penggunaan teknologi dalam pengajaran untuk memastikan pengajian KAFA melalui kemenjadian murid.
“Agensi-agensi pelaksana KAFA yang berkaitan hendaklah peka dalam mengenal pasti kelemahan yang ada supaya modul yang dibangunkan dan latihan yang diberikan adalah bertepatan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan 2020 di sini hari ini. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah agensi pelaksana KAFA pada setiap peringkat hendaklah berusaha menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik khususnya bilik darjah yang selesa dan kondusif untuk murid.
“Peralatan teknologi seperti komputer, projektor dan alat bantu seumpamanya diperlukan sebagai menyokong pembelajaran digital dan interaktif,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bagi menyokong pembelajaran dan perkembangan anak-anak, agensi pelaksana KAFA perlu memikirkan strategi bersesuaian bagi menggalakkan penyertaan aktif ahli komuniti dan ibu bapa dalam program KAFA.
“Wujudkan jalinan kerjasama dengan masjid dan institusi sosial berdekatan supaya medan penghayatan cara hidup Islam itu lebih dapat diperluas dan dipraktikkan di luar bilik darjah,” titah baginda.
Sementara itu, Mohd Na’im dalam ucapan berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan Pelan Transformasi Al-Falah yang meletakkan aspek pendidikan Islam sebagai antara teras penting.
“Aspek ini diberikan penekanan untuk memacu tahap pendidikan Islam yang mampan, holistik dan inklusif selaras dengan Rancangan Malaysia dan dasar sedia ada negara ke arah membina kegemilangan tamadun ummah menuju Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata terdapat sebanyak 35,000 guru KAFA dan 1,271,837 murid KAFA di negara ini setakat Ogos lepas.
— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button