KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman susulan dakwaan yang mengatakan usahwan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman lolos ke Thailand dengan menggunakan gerabak keretapi.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang telah disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.
“KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut sama ada kosong atau bermuatan.
“Fasiliti dan terminal kargo KTMB di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan dan Kastam,” katanya.
Menurut KTMB, setiap tren kargi yang membuat perjalanan merentas sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara di sempatan.
Jelasnya, proses ini melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan.
Terdahulu, sebuah akhbar Harian Metro melaporkan yang usahawan itu telah membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.
Sajat didakwa telah diseludup keluar dengan menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.
Dalam pada itu, polis juga mengesahkan Sajat ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana memiliki pasport yang tidak sah. -SM