KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia hari ini menantandangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Royal Selangor International Sdn Bhd. Memorandum tersebut ditandatangani oleh , Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia `Ainu Sham binti Haji Ramli dan Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn. Bhd. Yong Yoon Li,.
Upacara menandatangani memorandum persefahaman ini disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus bin Akbar Khan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan bin Tan Sri Abdul Rahman.
Memorandum persefahaman ini adalah bertujuan untuk melaksanakan kerjasama strategik dua hala melalui inisiatif yang merangkumi aspek pembangunan produk, pemasaran dan promosi serta latihan.
`Ainu berkata “Selaras dengan hala tuju Institut Kraf Negara (IKN) untuk menjadi sebuah intitusi peneraju kecemerlangan pengajian kraf berinovasi dan berkemahiran tinggi, kerjasama strategik ini juga secara langsung membuka peluang latihan industri dan lanjutan belajar bagi kedua-dua belah pihak.
“Pelajar IKN akan berpeluang menjalani latihan industri di Royal Selangor, dapat meningkatkan kemahiran dan peluang laluan kerjaya lebih baik. Manakala tenaga kerja mahir di Royal Selangor dapat mengikuti lanjutan latihan kemahiran di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditawarkan oleh IKN. Program persijilan ini dapat melengkapkan pekerja mahir tersebut dengan kelyakan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).” Ujar beliau lagi.
Sebagai permulaan kerjasama strategik ini, Kraftangan Malaysia mengadakan aktiviti demonstrasi kraf ukiran kayu, batik, anyaman rotan, tenunan songket dan seramik oleh pelajar-pelajar IKN sebagai salah satu pengisian aktiviti di Royal Selangor Visitor Centre pada cuti hujung minggu, sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bermula pada hari ini sehingga 17 September 2023.
Pada majlis yang sama, Royal Selangor turut mengadakan pelancaran koleksi produk baharu Heritage Royal Selangor yang beridentitikan Malaysia.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dr. Tan Awang Besar serta Pengarah Eksekutif Royal Selangor Marketing Sdn. Bhd. Encik Chen Tien Yue. – SM
Artikel berkaitan > MOTAC rasmi pembukaan outlet baharu Karyaneka di Muzium Negara