Nasional

KPKT cari mekanisme terbaik pulih rumah mangsa kebakaran gas

Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik saranan saranan Perdana Menteri supaya kementerian itu bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Petronas dalam menyediakan bantuan perumahan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Height.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya komited untuk mengkaji mekanisme yang sesuai dan berkesan bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.

“KPKT menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan juga syarikat Petronas bagi menyediakan bantuan perumahan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun kerja kerja pembinaan semula secara kovensional, kata kenyataan itu, akan mengambil masa yang panjang.
“Kerja bina baharu atau baik pulih rumah yang musnah itu akan mengambil masa dan KPKT sedang mengkaji langkah proaktif untuk mempercepat proses.

“Keutamaan kami ialah memastikan keluarga yang terjejas menerima sokongan yang diperlukan dalam proses baik pulih atau bina semula kediaman mereka,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum ini memaklumkan sebanyak 78 rumah dan 10 premis kedai musnah dalam kebakaran itu manakala 237 rumah lain turut terjejas.

Sementara itu Nga menerusi kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada anggota barisan hadapan khususnya pasukan JBPM atas kecekapan dalam menangani kebakaran berkenaan.

Beliau juga berterima kasih kepada pengurusan rumah ibadat, seperti Masjid Nurul Iman Puchong, Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang telah menghulurkan bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira kaum atau agama. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button