KPDN guna Festival Teater Pengguna Siswa ketengahkan pelbagai isu pengguna
SEBANYAK 340 pelajar dari 17 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengambil bahagian dalam pertandingan Program Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam 2023.
Program Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam 2023 merupakan anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
Program ini merupakan satu pertandingan seni teater bertemakan kepenggunaan dengan penekanan kepada pengguna bijak dan kos sara hidup.
Antara objektif utama program tersebut bertujuan menyebarluaskan pendidikan kepenggunaan melalui platform yang menarik serta meningkatkan tahap pendayaupayaan pengguna terutama dalam kalangan pelajar di IPT, kata KPDN dalam kenyataannya.
Penganjuran Festival Teater Pengguna Siswa IPTA 2023 ini bermula pada 22 Oktober sehingga 30 Oktober, baru-baru ini, bertempat di Panggung Percubaan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia.
Ketua Setiausaha (KSU) KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar telah menyempurnakan Perasmian Majlis Penutup Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam 2023 di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia.
Di malam kemuncaknya, nama-nama pemenang yang mengambil bahagian dalam pertandingan, diumumkan.
Pelbagai isu berkaitan kepenggunaan dan kos sara hidup telah diketengahkan dalam naskhah pementasan teater pada kali ini.
Isu-isu yang diketengahkan oleh para peserta pertandingan melalui pendekatan pementasan teater merupakan satu pendedahan yang terbaik kepada pelajar IPT dalam memahami dengan lebih jelas berkaitan isu-isu kepenggunaan.
Pihak KPDN komited menyokong usaha dan kerjasama strategik dengan semua pihak termasuk university-universiti dalam usaha kementerian untuk meningkatkan lagi kesedaran hak pengguna dalam kalangan pengguna muda.
“Pihak KPDN percaya peranan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar IPT amat signifikan yang mana mereka boleh berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan dalam menyemarakkan dan menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui program advokasi kepenggunaan yang dijalankan,” kata KPDN dalam kenyataan yang sama. – SM