KKM, Pfizer meterai perjanjian keluar dan bekal vaksin Covid-19 di Malaysia
KERAJAAN Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan, hari ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi mengeluarkan dan membekalkan vaksin Covid-19 Pfizer di negara ini.
Perjanjian itu merupakan lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 Nov lalu.
Perjanjian dimeterai secara telesidang oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei) Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer.
Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer, Anil Argilla.
Berucap pada majlis itu, Dr. Adham berkata kerajaan Malaysia menghargai sokongan yang diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di negara ini lebih awal daripada jangkaan.
Argilla pula berkata Pfizer komited untuk memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.
“Ini merupakan satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia,” katanya. – BERNAMA