Kesihatan

KKM lulus pendaftaran bersyarat Ronapreve cegah Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi rawatan antibodi Ronapreve bagi pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rawatan antibodi Ronapreve itu boleh digunakan oleh pesakit berusia 12 tahun ke atas.

“Ronapreve digunakan bagi rawatan Covid-19 pada individu dewasa dan remaja berusia 12 tahun ke atas dengan berat sekurang-kurangnya 40 kilogram dan tidak memerlukan oksigen tambahan atau berisiko dijangkiti Covid-19 ke tahap yang lebih teruk,” jelasnya.

Bagaimanapun Dr. Noor Hisham berkata, produk Ronapreve tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Pendaftaran produk itu diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-367 yang bersidang semalam. Ronapreve dikilangkan oleh F.Hoffman-La Roche Ltd, Switzerland.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata permohonan lesen import percubaan klinikal yang melibatkan satu protokol bagi produk untuk pencegahan Covid-19, Molnupiravir telah diluluskan.

“Kajian klinikal fasa tiga ini akan dijalankan di dua pusat penyelidikan di negara ini dengan sasaran bilangan subjek sebanyak 20 orang yang berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button