Nasional

KKDW peruntukan RM40 juta untuk baik pulih tabika, taska Kemas

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukan RM40 juta bagi menaik taraf serta membaik pulih Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, projek naik taraf itu akan dilaksana tahun hadapan.

“Buat masa ini semua negeri sedang menyiapkan data akhir tabika yang perlu dinaik taraf dan baik pulih.

“Insya-Allah pada awal Februari kita sudah boleh mula proses sebut harga dan tender untuk kerja-kerja berkenaan,” katanya dipetik pada satu sidang media ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di Gopeng pada Isnin.

Beliau sementara itu memaklumkan, kira-kira 60 peratus daripada 10,600 kelas tabika dan taska akan diberikan keutamaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan susulan keadaan premis yang uzur dan telah berusia.

“Kita hendak memastikan dari segi aspek keselamatan anak-anak yang berada di situ selamat untuk mengikuti pelajaran mereka,” tambahnya.

Pada sidang media itu Mohd Hanafiah turut memaklumkan, sebanyak 17 buah tabika baharu termasuk dua buah di Kampar dan Tambun akan dibina pada tahun depan bagi menampung keperluan pembelajaran kanak-kanak di seluruh negara.

Minat ibu bapa menghantar anak mereka ke tabika kemas jelasnya semakin meningkat dengan sehingga kini jumlah yang dalam kategori senarai menunggu melebihi 20,000 kanak-kanak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button