KJ jadi DJ rangkaian radio Hot FM
BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dipecat dari UMNO kini sah menjadi penyampai atau DJ rangkaian radio Hot FM.
Memetik laporan BH Online, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu depan.
Melalui satu kenyataan, MPA menyebut, Khairy atau mesra dipanggil KJ akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.
Malah pagi tadi, Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.
Kenyataan MPA menyebut, minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi. –SM