Kita tidak boleh kalah dalam peperangan ini
TANPA disedari, kita telah membiarkan kerajaan berseorangan dalam peperangan menentang pandemik Covid-19.
Walaupun kita sedar bahawa peperangan ini tidak akan dapat dimenangi tanpa rakyat digembleng tenaga bagi membantu kerajaan.
Jika ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan iaitu dua Aidilfitri yang lalu, kita sangat bekerjasama dan bersama-sama dengan kerajaan melandaikan keluk dan hampir mencatatkan jumlah sifar kes.
Bagaimanapun selepas pilihan raya negeri Sabah, jumlah kes telah naik mendadak dan sejak itu jugalah rakyat terus menyalahkan kerajaan kerana menurut nafsu politik tanpa memikirkan keselamatan rakyat dan kepentingan negara.
Sejak itu juga rakyat mulai menganggap perjuangan menentang wabak ini adalah tanggungjawab kerajaan dan rakyat adalah pemerhati yang sentiasa mencari kelemahan serta kesilapan.
Ketika ini juga anasir pencetus kebencian mula memainkan peranannya untuk memisahkan rakyat daripada kerajaan. Jumlah kes yang naik dan turun dikatakan satu konspirasi kerajaan bagi membolehkan pelaksanaan darurat bagi menangani wabak.
Kerajaan juga dikatakan sengaja menakutkan rakyat dengan jumlah kes yang semakin memuncak kerana darurat akan tamat pada Ogos depan dan helah itu digunakan bagi meneruskan pemerintahan tanpa perlu parlimen bersidang.
Apabila kerajaan melaksanakan PKP rasa marah itu semakin memuncak, apatah lagi ketika sekali lagi Aidilfitri mahu disambut.
Rakyat menyalahkan kerajaan kerana tidak melaksanakan PKP kedua seperti PKP yang pertama iaitu dengan menutup sepenuhnya termasuk sektor ekonomi.
Sebenarnya kerajaan telah belajar bahawa sektor ekonomi tidak boleh dilumpuhkan walaupun PKP dilaksanakan, apatah lagi ia akan menyebabkan setiap hari kerugian berbilion ringgit. Jika situasi berlarutan untuk tempoh yang lama, pelabur akan angkat kaki ke negara lain yang lebih mesra ekonomi dasarnya.
Selain itu jumlah pengangguran telah mencapai jutaan jumlahnya dan ini sangat tidak baik untuk negara kita. Jika ekonomi ditutup lama, lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan jatuh ke dalam lingkaran ganas miskin tegar.
Pandemik Covid-19 ini memang sukar diramalkan dan ia pastinya mempengaruhi keputusan kerajaan dalam menanganinya, termasuklah dalam aspek ekonomi dan sosial.
Kerajaan pada asalnya tidak menjangkakan jumlah kes naik mendadak dan telah membenarkan bazar ramadan dan bazar aidilfitri diadakan bagi menjana pendapatan rakyat serta sekaligus menggerakkan ekonomi negara.
Dengan jangkaan akan berlaku peningkatan sedikit kes, Aidilfitri akan dapat disambut pada kali ini. Bagaimanapun situasi di luar jangka telah berlaku dengan sekelip mata jumlah kes baharu telah meningkat mendadak.
Bagi menangani keadaan itu kerajaan terpaksa menyekat pergerakan orang ramai pulang berhari raya ke kampung. Difahamkan pada asalnya jangkaan kes akan mencecah kemuncak pada akhir bulan ini iaitu sebanyak 5,000 kes. Bagaimanapun jangkaan itu meleset. Dengan situasi semasa menjelang akhir bulan ini kes akan meningkat kepada 10,000 kes jika tiada langkah drastik tidak diambil.
Oleh itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengambil tidak popular dengan mengumumkan PKP 0.3, ketika mood orang ramai hendak menyambut hari raya.
Pada masa ini kemudahan kesihatan bagi menangani kes Covid-19 telah mencecah 85 peratus penggunaannya dan jika tindakan drastik tidak diambil kerajaan tidak akan mampu menanganinya lagi. Sistem kesihatan negara akan runtuh.
Langkah tidak popular itu menyebabkan kini kerajaan perlu berdepan dengan rakyat dan pada masa yang sama perlu memerangi pandemik.
Jadi kembalilah bersama kerajaan memerangi wabak ini dan di mana slogan ‘kita jaga kita’ yang sebelum ini kita jadikan kempen dan pedoman. Sebaliknya pelbagai gelaran dan panggilan jelek dihambur dan dilemparkan kepada barisan kabinet serta kerajaan.
Memang kerajaan yang ada hari ini bukan sempurna dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Bagaimanapun ia bukan situasi biasa. Ia situasi darurat dan setiap hari banyak perkara baharu dipelajari oleh semua.
Tidak ada negara di dunia ini yang akan mampu berperang menentang penularan wabak dan pada masa yang sama perlu berdepan dengan tentang rakyatnya sendiri.