Kilang pemasangan Proton di Mesir jadi hab pasaran Afrika Utara – Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melancarkan operasi kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad di Kahareh, Mesir yang dijangka mula beroperasi Disember ini.
“Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, malah ia adalah kebanggaan negara, ia adalah jenama yang dikaitkan dengan Malaysia… terkenal di banyak negara malah di Eropah,” katanya dipetik berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Perdana Menteri berkata, usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keberadaan Malaysia di Mesir adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang lama terjalin.
Jelasnya rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan kereta Proton Saga akan menghasilkan kira-kira 16,000 unit antara tahun ini hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sekitar RM570 juta.
“Semoga lebih banyak peluang dan ruang buat syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pihak Mesir, Insya-Allah,” kata beliau lagi.
Beliau berkata setiap tahun eksport Proton semakin meningkat dan dalam tempoh jangka sederhana syarikat itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utamanya bagi rantau utara benua Afrika.