Hiburan

Kilafairy ingin arwah ibu jadi saksi konsert bersama legenda Bollywood

SUDAH lama selebriti, Kilafairy tidak muncul di pentas maupun lakonan selepas kematian arwah ibunya, Rohana Jalil, kini Kilafairy muncul bakal berkongsi pentas dengan ikon muzik Bollywood iaitu Udit Narayan, dalam Konsert Udit Narayan In KL yang akan berlangsung pada 28 Disember ini.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, ini merupakan pencapaian besar buat dirinya yang akan menjadi penyanyi wanita Malaysia pertama yang terlibat dalam konsert tersebut di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

“Saya ingin arwah ibu, Allahyarham Rohana Jalil, menjadi saksi pembabitan saya dalam konsert bersejarah bersama legenda Bollywood, Udit Narayan. Jika ibu masih ada, pastinya beliau akan merasa sangat bangga,” ujar penyanyi Kilafairy dengan penuh perasaan.

Nama Kilafairy dipilih oleh pihak penganjur, VVST Digital Creation, atas kredibilitinya sebagai penyanyi yang fasih menyanyikan lagu-lagu Bollywood. Kilafairy, 32, menggambarkan peluang ini sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan.

“Udit Narayan adalah figura yang sangat istimewa. Saya meminatinya kerana beliau sering menjadi penyanyi latar bagi lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Shah Rukh Khan dalam filem-filem popular. Jadi, apabila saya dipilih untuk turut serta dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, bahkan rasa gemuruh dan takut kerana bakal berkongsi pentas dengan seorang ikon. Saya juga bangga kerana ini adalah penglibatan pertama saya dalam konsert Bollywood berskala besar, lebih-lebih lagi bersama Udit Narayan. Ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Kilafairy.

Latihan Vokal dan Persediaan Untuk Konsert

Bercerita lanjut, Kilafairy yang kini sedang giat menjalani latihan vokal memberitahu bahawa dia akan menyanyikan sebuah lagu solo serta dua lagu duet bersama penyanyi Syamel.

“Saya akan menyanyikan satu lagu solo dan dua lagu duet dengan Syamel pada malam konsert 28 Disember nanti. Sekarang ini, saya sedang menjalani latihan vokal dan mempelajari lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan lagu Bollywood sangat berbeza dengan lagu Melayu. Malah, lagu Tamil dan Hindi juga mempunyai lenggok yang berbeza,” jelasnya.

Cinta Sejak Kecil Terhadap Dunia Bollywood

Dunia Bollywood bukanlah sesuatu yang asing bagi Kilafairy. Sejak usia 8 tahun, dia sudah mula menyanyi lagu-lagu Bollywood dan menonton filem-filem Bollywood bersama keluarganya.

“Saya mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak kecil, dan menonton karya-karya Bollywood sudah menjadi tradisi dalam keluarga saya. Saya juga belajar banyak tentang emosi dan lakonan melalui filem-filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter-karakter dalam filem diterjemahkan dan bagaimana instrumen muzik serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood memberi kesan yang mendalam.

“Bagi saya, terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL ini membuatkan saya rasa seperti kembali ke masa lalu, mengenang momen-momen bersama keluarga, terutama ibu yang telah kembali ke rahmatullah pada 2023. Filem Kabhi Khushi Kabhi Gham adalah filem yang kami sekeluarga tonton berulang kali, dan saya masih menangis setiap kali menontonnya. Arwah ibu juga sangat menyukai lagu Khushiyan Aur Gham dari filem Mann,” tambahnya.

Kilafairy turut menyatakan bahawa dia amat mengagumi karya-karya Udit Narayan, terutamanya daripada filem-filem seperti Devdas, Mann, dan Taal, yang baginya sangat menyentuh jiwa.

Penampilan Dengan Kostum Bollywood

Kilafairy juga mendedahkan bahawa dia akan tampil dengan busana Bollywood yang direka oleh pereka terkenal Shanell Harun.

“Saya akan mengenakan busana bertemakan Bollywood, tetapi dengan gaya yang sederhana namun elegan, seperti penampilan saya yang selalu,” ujar Kilafairy.

Konsert Udit Narayan In KL

Konsert Udit Narayan In KL akan menjadi satu acara bersejarah, menyaksikan legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran ‘Raja Melodi’, kembali ke Malaysia selepas 12 tahun. Udit Narayan, yang telah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya, dijangka menghiburkan peminat dengan lagu-lagu ikoniknya seperti Papa Kehte Hain dan persembahannya dalam filem Qayamat Se Qayamat Tak.

Konsert ini akan membawa penonton ke zaman kegemilangan industri muzik dan filem Bollywood, terutamanya era 90-an hingga ke hari ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert epik ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024.

Untuk pembelian tiket, layari https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di [email protected].

Untuk makluman, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert di Kuala Lumpur, dan pihak penganjur memberi jaminan konsert tersebut akan berlangsung tanpa sebarang masalah.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button