Ekonomi

Khazanah labur RM47 Juta kepada Fashion Valet tapi cuma RM3.1 juta sahaja peroleh

KHAZANAH Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya memperoleh RM3.1 juta melalui penjualan saham mereka dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet Sdn Bhd, kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada tahun 2023.

Jumlah ini dicapai daripada pelaburan sebanyak RM47 juta yang telah dibuat oleh Khazanah dan PNB pada tahun 2018, dengan masing-masing melabur RM27 juta dan RM20 juta untuk mendapatkan pegangan minoriti dalam Fashion Valet.

Menurut Kementerian Kewangan, pelaburan ini adalah sebahagian daripada mandat Khazanah pada waktu tersebut untuk memupuk usahawan teknologi tempatan serta mengembangkan pendedahan kepada sektor e-dagang yang sedang pesat berkembang. Pada masa sama, tujuan pelaburan PNB adalah untuk menyokong syarikat runcit digital Bumiputera yang berpotensi berkembang sebagai platform runcit serantau untuk jenama Malaysia, sekaligus membantu pertumbuhan perniagaan Fashion Valet.

“Bagaimanapun, perniagaan Fashion Valet terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 serta cabaran pasaran pengumpulan dana, menyebabkan syarikat ini memerlukan suntikan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi,” jelas kenyataan Kementerian Kewangan. “Pada akhir 2023, NXBT Partners mengemukakan tawaran untuk mengambil alih saham Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet serta menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut. Sehubungan itu, semua pemegang saham bersetuju menerima tawaran berkenaan.”

Penjualan ini menjawab persoalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) di Dewan Rakyat mengenai jumlah pelaburan serta kerugian yang ditanggung oleh Khazanah dan PNB akibat penurunan nilai serta penjualan saham Fashion Valet.

Kementerian Kewangan turut menegaskan bahawa jumlah kerugian daripada penjualan saham tersebut adalah kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB bagi tahun berkenaan. “Langkah ini merupakan keputusan keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB, di mana NXBT Partners selaku pelabur strategik akan terus menyokong Fashion Valet dalam memenuhi keperluan pembiayaan dan mengembangkan perniagaan dalam industri yang mencabar,” tambahnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button