BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kecewa kerana platform kecerdasan pintar (AI) ChatGPT gagal mencadangkan parti politik yang sesuai untuknya.
“Tak guna betul ChatGPT ni… Ingat boleh membantu,” kata Khairy di Instastory beliau hari ini.
Khairy difahamkan meminta platform AI itu membantunya mencari parti yang sesuai untuk disertai sebagai ahli.
Tetapi soalan parti mana yang harus dipilih oleh Khairy Jamaluddin tidak mendapat jawapan yang diperlukan.
Sebaliknya aplikasi itu mengatakan ia tidak mempunyai pandangan peribadi mengenai soalan yang dilontarkan bekas pemimpin UMNO itu.
“Sebagai model AI, saya tidak boleh bersikap untuk condong kepada mana-mana parti. Keputusan parti politik mana yang akan disertai adalah bersifat peribadi dan bergantung kepada pelbagai faktor seperti kepercayaan, nilai dan matlamat individu.
“Akhirnya terpulang kepada Khairy untuk menentukan parti mana yang paling sesuai dengan pegangan dan prinsipnya sendiri dan parti mana yang dirasa akan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundinya dan negara secara keseluruhannya,” jawab ChatGPT. – SM