
Khairul Aming level up! 30 hari 60 resipi, livestream Bazar dan travel eksklusif ke Oman
SETIAP kali bulan Ramadan menjelang, nama Khairul Aming pasti menjadi tumpuan ramai, terutama kerana siri masakan ikoniknya, 30 Hari 30 Resipi. Namun, tahun ini beliau tampil dengan kejutan lebih besar—bukan sekadar 30 resipi, tetapi 30 Hari 60 Resipi!
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagramnya, di mana beliau berkongsi bahawa persiapan untuk projek tahun ini telah dijalankan dengan lebih rapi bersama pasukannya sejak dua bulan lalu.
“Kali ini, saya dan pasukan telah membuat persiapan lebih awal, kira-kira dua bulan, untuk memastikan semua video dirakam dan disunting dengan baik,” jelasnya.
Lebih menarik, selain memperkenalkan lebih banyak resipi, Khairul Aming juga akan memberi tumpuan kepada livestream Bazar Ramadan sebagai salah satu inisiatif baru.
“Tahun ini kita bukan saja ada 30 Hari 60 Resipi, tapi juga akan banyak buat livestream dari satu bazar ke bazar lain untuk tunjuk mana bazar terbaik dan dalam masa yang sama menyokong peniaga tempatan,” tambahnya lagi.
Tidak terhenti di situ, peminat juga bakal disajikan dengan sebuah program khas “Jalan-Jalan Ke Oman” atau Aming In Oman, yang akan membawa penonton menjelajah keindahan Oman sepanjang lapan episod eksklusif pada Ramadan kali ini.
Di platform X (Twitter), Khairul Aming turut berkongsi keterujaannya dengan menulis:
“Hey what’s up guyssss! Weekend ni kita akan mula berpuasa dan tahun ini KA sediakan 30 Hari 60 Resipi, Livestream Bazar Ramadan, serta 8 episod travel series ke Oman. Selamat datang ke tahun kelapan!”
Program khas ini akan bermula minggu hadapan, menandakan tahun kelapan siri 30 Hari 30 Resipi menemui penonton. Peminat setia pasti tidak sabar menantikan hidangan menarik serta pengalaman unik yang bakal dikongsikan oleh Khairul Aming sepanjang Ramadan ini.