Politik

Ketika buku Hannah terbit pada 2014 kenapa Pas tidak bantah?

TINDAKAN Pas yang berdiam diri ketika buku Hannah Yeoh diterbitkan kira-kira 10 tahun lalu menimbulkan persoalan.

Pada tahun 2014 sewaktu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ terbit Pas tidak bersuara, tetapi dijadikan isu besar kini apabila DAP tidak lagi bertahaluf siyasi dengan parti itu.

Belas Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata, Pas sengaja menjadikan isu buku tulisan Menteri Belia dan Sukan itu sebagai bahan politik untuk menaikkan kemarahan orang Melayu.

Katanya, Pas hipokrit kerana tidak pernah menegur DAP menyebarkan ajaran Kristian secara senyap sewaktu era kerjasama Pakatan Rakyat (2008 – 2014) lalu.

“Pas tidak begitu mengambil kisah (tentang buku itu), tetapi bila mana ianya sesuatu yang kemudiannya Pas tidak berada dengan DAP dalam satu gabungan, dan dilihat DAP ini pihak yang banyak kontra dengan Pas, maka ia jadikan itu (buku Hannah) sebagai satu modal.

“Tulisan Hannah Yeoh itu lebih kepada pandangan peribadi (beliau) yang menyatakan daripada segi keinginan Hannah untuk melaksanakan agenda sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan dalam konteks iktikad Kristian.

“Umat Islam tak perlu pertikaikan, dan perkataan ‘Duta Tuhan’ itu merujuk bahawa Hannah ingin menjadi seseorang yang membawa mesej daripada Tuhan, yang dia iktikadkannya sebagai Tuhan (dalam agama beliau). Jadi tiada masalah,” katanya seperti dipetik dari Suara Keadilan.

Syamsul Firdaus berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Himpunan Bangkit Ummah Pas yang dijangka diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Himpunan itu dikatakan berkisar isu penerbitan buku ditulis Hannah Yeoh yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus, meskipun Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sewaktu penerbitan itu.

Mengulas lanjut, Syamsul Firdaus berpendapat, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh seorang Muslim jika mempunyai pegangan akidah yang kuat.

“Apa yang disuarakan (kontroversi) itu, lebih kepada nak memainkan sentimen untuk mengelirukan orang Islam tentang konteks yang terkandung dalam buku tulisan pemimpin DAP tersebut,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button